PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), melalui Malaysia Petroleum Management (MPM), menandatangani 11 Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia.
Ia bakal dilaksanakan melalui dua inisiatif utama, iaitu Transformasi Limbungan dan Peningkatan Produktiviti, serta Juara Perdagangan Kemahiran.
Perjanjian itu memanfaatkan kerjasama dengan pemain industri bagi meningkatkan prestasi kilang fabrikasi melalui pemodenan dan membangunkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi, sekali gus meletakkan Malaysia untuk memenuhi permintaan sektor yang sentiasa berkembang.
Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong berkata, MoU tersebut mencerminkan komitmen teguh PETRONAS untuk membina sektor minyak dan gas yang kukuh dan mampan di Malaysia.
“Pelaksanaan berstruktur dijalankan dengan kerjasama rapat bersama pemain OGSE tempatan akan memberi tumpuan kepada pencapaian hasil yang boleh diukur bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pelaburan dan pertumbuhan yang dipercepatkan, sejajar dengan aspirasi negara,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif Transformasi Limbungan dan Peningkatan Produktiviti, Petronas menandatangani lima MoU dengan kontraktor limbungan fabrikasi tempatan yang terkemuka iaitu Brooke Holding Sdn. Bhd. (BHSB), Ocean Might Sdn. Bhd. (OMSB), Muhibbah Engineering (M) Berhad (MEB), Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) dan Sapura Fabrication Sdn. Bhd. (SFSB).
Inisiatif itu merupakan komponen utama dalam strategi nasional Malaysia untuk memulihkan ekosistem limbungan fabrikasi.
Dalam pada itu, usaha transformasi ini turut memberi tumpuan kepada integrasi teknologi inovatif, pembangunan keupayaan tenaga kerja, dan peluasan peluang pasaran untuk meningkatkan produktiviti.
Selain itu, di bawah inisiatif Juara Perdagangan Kemahiran, enam MoU juga ditandatangani dengan pemain industri utama, termasuk kontraktor penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) seluruh Malaysia, kontraktor ‘Hook-up’ dan ‘Commissioning’ (HUC) dan Persatuan Pemilik Kapal Sokongan Luar Pesisir Malaysia (MOSVA).
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada pengukuhan perdagangan kritikal luar pesisir seperti ‘rigging’, letupan dan pengecatan, perancah, kimpalan, pembuatan sambungan dan pelayaran.
Ia juga mengutamakan peningkatan kemahiran pelaut Malaysia bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang berkelayakan dalam operasi marin luar pesisir. – UTUSAN