TAPAH: Sokongan pengundi bukan Melayu terhadap calon Perikatan Nasional (PN) menunjukkan peningkatan yang baik menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Sabtu ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk PRK DUN Ayer Kuning berkata, ia merupakan satu perkembangan yang baik dan sangat berbeza berbanding semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kita tengok berapa kawasan-kawasan yang dahulunya agak negatif semasa PRU15, tetapi respons daripada pasukan-pasukan kempen termasuk calon pergi sana pun nampak agak positif,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Sementara itu, calon PN, Abd. Muhaimin Malek berkata, setakat ini beliau telah bertemu kira-kira 80 peratus pengundi.
Menurutnya, peratusan tinggi yang dicapai itu adalah sokongan daripada jentera kempen yang menyantuni dan mendengar rintihan rakyat dari hati ke hati.
“Saya sudah melawat hampir semua unit daerah mengundi (UDM) dan berjumpa dengan lebih daripada 80 peratus pengundi dan mendapat sambutan yang baik.
“Berdasarkan sambutan yang diterima, saya percaya ada perubahan besar nanti,” katanya.
Abd. Muhaimin berkata, semasa berjumpa pengundi, mereka membangkitkan isu-isu tempatan seperti keselamatan, alam sekitar, jalan rosak, longkang tersumbat dan sampah, selain kesihatan dan kepentingan anak muda. – UTUSAN