pentas korporat temui sukan bertaraf dunia

Sukan

PETALING JAYA: Kejohanan golf korporat paling berprestij negara, Cabaran Golf Dunia Korporat (WCGC) peringkat antarabangsa kembali mewarnai persada sukan tanah air tahun ini dengan pembabitan syarikat-syarikat gergasi dalam satu platform yang menggabungkan semangat kesukanan dan diplomasi korporat.

Majlis pelancaran rasmi kejohanan yang dibawakan oleh Enotech Sdn Bhd itu berlangsung meriah di Shah Alam hari ini, menandakan permulaan kepada siri kejohanan yang bakal memuncak pada pusingan akhir kebangsaan.

Pasukan terbaik kemudiannya akan diberi penghormatan mewakili Malaysia ke Final WCGC di Shanghai, China dari 19 hingga 23 Oktober depan.

Edisi tahun ini turut menerima suntikan istimewa menerusi naungan Diraja Raja Muda Selangor oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang turut berkenan menyempurnakan pelancaran kejohanan.

Baginda yang terkenal sebagai tokoh muda progresif dan aktif dalam pembangunan belia serta sukan menzahirkan keyakinan tinggi terhadap potensi kejohanan tersebut dalam menyatukan pelbagai pihak dalam suasana profesional dan berprestij.

“Ini bukan sekadar satu cabaran golf,ia adalah platform yang menyatukan para pemimpin korporat, penaja dan ikon sukan untuk menjalin hubungan serta mempamerkan kecemerlangan. Beta menantikan semangat persaingan dan kerjasama yang akan terpancar ketika Malaysia melangkah ke peringkat akhir dunia,” titah Baginda dalam ucapan perasmian.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Elora Global Sdn Bhd ini dijangka menarik penyertaan syarikat terkemuka dari pelbagai sektor industri, sekaligus membuka ruang untuk interaksi strategik dan jalinan hubungan perniagaan melalui medium sukan golf.

Sementara itu, penaja utama kejohanan, Enotech Sdn Bhd turut memanfaatkan platform ini untuk terus memperkukuh jenama sebagai syarikat yang bukan sahaja aktif dalam sektor perfileman, malah komited menjunjung budaya dan identiti nasional.

Dengan penyertaan korporat yang kukuh dan sokongan Diraja yang padu, WCGC Malaysia 2025 bukan sahaja menjanjikan persaingan sengit di lapangan golf, malah bakal menjadi lambang kesepaduan antara dunia sukan dan perniagaan dalam memperkasakan nama Malaysia di mata dunia.-UTUSAN