Pecutan akhir kempen, BN gandakan usaha yakinkan pengundi

Politik

TAPAH: Berbaki kurang 48 jam sebelum tempoh kempen tamat, calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir telah menemui pengundi di hampir seluruh kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Mohamad Yusri yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah berkata, beliau bersama jentera parti kini memberi tumpuan kepada beberapa lokasi yang perlu penekanan khusus.

Katanya, pecutan terakhir itu bagi menyakinkan pengundi pelbagai kaum di Ayer Kuning sekali gus menarik sokongan mereka terhadap BN.

“Kita sudah pun menghampiri ‘last lap’ dan sedang menggandakan usaha untuk bertemu semua pengundi.

“Saya pun telah turun ke banyak tempat dan pada saat-saat akhir ini, kita akan pergi ke tempat-tempat yang perlu ditekankan untuk meraih undi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut beliau, sambutan yang amat baik dalam kalangan masyarakat setempat diterima hasil pendekatan menyeluruh yang dilakukan termasuk dengan memberi penekanan kepada keharmonian kaum.

“Kita bergerak sebagai satu pasukan yang mewakili semua kaum. Bila menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) nanti, saya adalah wakil kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Beliau berkata, sokongan pengundi dalam memenangkan calon BN pada PRK DUN Ayer Kuning Sabtu ini akan mengekalkan legasi Parlimen Tapah yang dipimpin oleh tiga parti tunjang dalam BN.

Katanya, komposisi masyarakat berbilang kaum di Parlimen itu mencerminkan keharmonian yang menjadi asas kepada kestabilan politik dan perpaduan rakyat.

“Parlimen Tapah ini istimewa kerana dari dulu lagi ada padanan UMNO, MIC dan MCA sebagai rakan kongsi, jadi DUN Ayer Kuning membawa kepentingan tersendiri dalam meneruskan legasi ini,” katanya. – UTUSAN