TAPAH: Barisan Nasional (BN) yakin seramai 2,600 pengundi putih dalam kalangan kaum India akan menterjemahkan undi mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Sabtu ini.
Timbalan Pengerusi BN Tapah, Datuk Seri M. Saravanan berkata, angka itu merupakan undi yang diyakini menyokong BN selain 300 pengundi kelabu dan 700 lagi belum menyatakan pendirian.
Katanya, sokongan penuh daripada pengundi kategori itu akan membantu BN mengekalkan kerusi DUN berkenaan sekali gus menambah majoriti lebih tinggi.
“Saya yakin 100 peratus BN akan menang. Cuma majoritinya terpulang kepada jumlah pengundi yang akan keluar nanti.
“Sekarang kita sedang berhubung dengan pengundi-pengundi luar yang kebanyakannya ahli MIC untuk minta mereka pulang bagi menambahkan bilangan 2,600 pengundi putih,” katanya ketika ditemui pada program makan tengah hari dan berjumpa penduduk kaum India di Jalan Besar Kampung Baru Air Kuning, di sini hari ini.
Yang turut hadir, calon BN PRK DUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.
Menurut Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah, masyarakat India di kawasan tersebut lebih mengetahui pihak mana yang selalu membantu mereka dan tidak hanya muncul ketika kempen pilihan raya.
Katanya, sentimen dan isu yang dibawa pihak luar juga dilihat tidak memberi kesan besar dan menggugat sokongan mereka kepada BN.
“Tak ada apa-apa cabaran. Mereka tahu siapa yang membantu mereka selama ini, sebab itu mereka tegas. Mereka nampak wakil daripada BN yang mempertahankan mereka
“Isu yang dibawa tidak begitu serius dan hanya memainkan sentimen luar termasuk berkaitan rumah ibadat,” katanya.
Pada PRK DUN Ayer Kuning, Mohamad Yusri, 54, yang juga Bekas Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek, 44, dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40. – UTUSAN