TAPAH: Keluarga Ishsam Shahruddin kesal kerana nama akademi bola sepak yang diasaskan oleh Allahyarham digunakan pembangkang untuk perlawanan bola sepak sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.
Anak sulung Ishsam, Muhammad Isnabil Ishsam berkata, beliau mengesan acara perlawanan bola sepak tiga penjuru yang disertai ahli politik pembangkang itu menerusi satu hantaran dalam laman Facebook.
“Apa yang mengejutkan, poster awal bagi acara tersebut telah menggunakan nama kelab bola sepak Veteran AYBI iaitu kelab yang ditubuhkan oleh arwah ayah saya.
“Penggunaan nama ini dibuat tanpa kebenaran keluarga kami,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, perkara itu telah menimbulkan kekeliruan seperti penglibatan atau sokongan rasmi keluarganya terhadap kempen parti politik itu.
“Setelah beberapa pihak mula mempersoalkan penggunaan nama Veteran AYBI, hantaran tersebut telah diturunkan dan hantaran baru dimuat naik dengan poster yang telah diubah dengan menggantikan nama kelab lain.
“Tindakan itu seolah-olah cuba menutup pelanggaran asal yang telah dilakukan namun usaha tidak mengubah hakikat bahawa nama asal kelab kami telah disalah guna,” katanya.
Muhammad Isnabil berkata, satu laporan polis telah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
“Tujuan laporan ini dibuat untuk memohon siasatan dan tindakan tegas daripada pihak berkuasa terhadap penyalahgunaan nama kelab yang diasaskan oleh Allahyarham ayah saya.
“Saya menuntut supaya semua bahan promosi yang telah dan sedang digunakan sama ada dengan nama asal Veteran AYBI mahupun nama yang telah ditukar itu dihentikan serta-merta dan diturunkan dari semua platform.
“Pihak kami juga berharap sebaiknya dibatalkan penganjuran tersebut oleh pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN