PUTRAJAYA: Aloft Hotel bakal menjadi hotel jenama antarabangsa pertama dibuka di Seremban, Negeri Sembilan menjelang akhir tahun ini.
Hotel berkenaan merupakan hasil kerjasama antara rangkaian hospitaliti terkenal, Marriott International, Inc. dan syarikat pemaju tempatan, Citta Worldwide, yang dimeterai dalam satu majlis menandatangani perjanjian semalam.
Aloft Seremban akan dibina di tengah-tengah bandar Seremban dan merupakan sebahagian daripada pembangunan komersial bersepadu yang turut merangkumi ruang runcit dan pejabat.
Hotel ini akan berhubung secara langsung dengan Terminal 1 Shopping Centre, selain menawarkan akses mudah ke hab pengangkutan utama termasuk Stesen Seremban Sentral yang bakal dibina.
Naib Presiden Pembangunan Marriott International Asia Pasifik (kecuali China), Andree Susilo berkata, hotel tersebut akan membawa pengalaman baharu kepada pelancong moden yang mengutamakan gaya, inovasi dan keselesaan.
“Projek ini merupakan satu pencapaian penting dalam perkembangan Marriott di Malaysia dan kami berbangga dapat bekerjasama dengan Citta Worldwide untuk membawa jenama yang dinamik ini ke Seremban,” katanya.
Majlis tersebut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan), Nicole Tan Lee Koon.
Pengerusi Citta Worldwide, Datuk Seri Dr. KK Chai berkata, pembukaan Aloft Seremban bakal mengubah landskap industri hospitaliti di bandar ini.
“Hotel ini akan menawarkan pengalaman penginapan yang segar dan penuh gaya, selaras dengan perkembangan pesat Seremban sebagai bandar moden,” katanya.
Hotel setinggi beberapa tingkat itu bakal menampilkan 173 bilik dan suite moden, serta pelbagai kemudahan seperti restoran sepanjang hari dengan dapur terbuka, Re:Fuel (konsep Grab & Go), dan W XYZ® Bar yang terkenal dengan suasana meriah dan persembahan muzik terpilih.
Turut disediakan ialah kemudahan ruang acara seluas 300 meter persegi termasuk bilik mesyuarat fleksibel dan ruang serbaguna, kolam renang sepanjang 25 meter serta pusat kecergasan Re:Charge seluas 75 meter persegi.
Dengan lokasinya yang strategik berhampiran Kuala Lumpur dan Port Dickson, hotel ini dijangka menarik pelancong serta pelawat perniagaan dari dalam dan luar negara.
Ia juga terletak berhampiran pelbagai tarikan termasuk Muzium Negeri Sembilan, Muzium Diraja Seri Menanti, Gereja The Visitation, dan pantai-pantai popular di Port Dickson.
Pembukaan Aloft Seremban dijangka memperkukuh lagi kehadiran Marriott International di Malaysia, selain menyokong agenda pembangunan ekonomi dan infrastruktur negara termasuk Vision Valley 2.0 dan Pelan Perbandaran Nasional. – UTUSAN