PETALING JAYA: Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir secara relatifnya dilihat tidak menghadapi masalah besar untuk mempertahankan kerusi dimenangi parti itu esok.
Berdasarkan laporan Ilham Centre bertajuk ‘PRK N48 Ayer Kuning: Menelusuri Dinamika Politik Dalam Suasana Tenang, Strategi Tertutup dan Kuasa Majoriti Senyap’, persoalan utama yang timbul kepada calon BN itu hanyalah sejauh mana kerjasama partinya dengan Pakatan Harapan (PH) mampu meningkatkan sokongan pengundi seperti disasarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar berkata, sasaran majoriti mencapai 18,000 undi yang diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memberi tekanan langsung kepada jentera kempen BN dan PH untuk membuktikan keberkesanan kerjasama melalui keputusan hari pengundian.
“Majoriti responden berpendapat sasaran tersebut sukar dicapai,” katanya dalam laporan yang dikeluarkan hari ini.
Katanya, kelesuan politik di kalangan golongan muda merupakan satu cabaran besar pada PRK kali ini kerana sikap mereka tidak lagi teruja atau aktif menyertai kempen secara fizikal.
“Berdasarkan temubual oleh Ilham Centre, pengundi muda khususnya mereka yang berada di luar kawasan seperti di Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh dan Teluk Intan secara jelas menyatakan bahawa tidak berminat untuk pulang mengundi.
“Dalam konteks ini, anak muda Melayu kekal sebagai kumpulan pengundi yang kritikal terhadap BN, meneruskan sentimen negatif yang telah memberi lonjakan besar kepada PN semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu,” katanya.
Tambahnya lagi, ketiadaan minat generasi muda ini merupakan cabaran utama jentera Pemuda UMNO yang dilihat terkial-kial dalam usaha untuk meraih semula kepercayaan kelompok ini sepanjang tempoh kempen berlangsung.
“Fenomena ini menyebabkan pola pengundian majoriti senyap semakin sukar dibaca, menambah ketidakpastian terhadap keputusan akhir PRK ini,” katanya.
Katanya lagi, berdasarkan hasil tinjauan selama dua minggu dilakukan Ilham Centre, perpindahan undi khususnya daripada pengundi PH menjadi antara faktor paling penting dalam menentukan kemenangan PRK ini.
Jelasnya, hasil kajian pihaknya mendapati pengundi Cina masih skeptikal terhadap BN, menyebabkan DAP dan MCA terpaksa bergerak secara berasingan dalam usaha memujuk golongan itu memberikan sokongan.
“Walau bagaimanapun, secara amnya pengundi yang dahulunya menyokong PH tidak berdepan masalah besar untuk memindahkan undi mereka kepada calon BN kerana persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan.
“Manakala komuniti Orang Asal pula dilihat secara jelas kekal dengan BN, menyifatkan parti itu masih relevan dengan sentuhan khidmat terhadap keperluan komuniti mereka,” katanya.-UTUSAN