CLSA lancar waran berstruktur di Bursa Malaysia

Perniagaan

KUALA LUMPUR: CLSA Securities Malaysia Sdn. Bhd. (CLSA), salah satu broker asing terkemuka di Malaysia melancarkan secara rasmi penawaran waran berstruktur mereka di Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia), menandakan satu era baharu yang menarik dalam landskap dagangan negara.

Ketua Negara CLSA di Malaysia, Kit Lim berkata, sebagai penerbit antarabangsa kedua yang menawarkan waran berstruktur di Malaysia, CLSA memasuki pasaran pada waktu penyertaan pelabur runcit berada pada tahap yang memberangsangkan.

“Ini susulan prestasi tahunan terbaik FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI)  dalam tempoh 14 tahun pada 2024 yang mengatasi banyak rakan serantau. 

“Walaupun waran berstruktur kelihatan serupa secara luaran, kami percaya bahawa kualiti pelaksanaanlah yang benar-benar membezakan antara penerbit,” katanya dalam kenyataan pada Majlis Penyenaraian Waran Berstruktur CLSA di sini, semalam. 

Sebagai permulaan, CLSA akan membuat penampilan sulung dengan enam waran berstruktur melibatkan beberapa syarikat paling aktif didagangkan di Malaysia iaitu Gamuda Berhad, Genting Berhad, Inari Amertron Berhad, My E.G. Services Berhad, Petronas Chemicals Group Berhad dan YTL Power International  Berhad. 

Sementara itu, Pengarah Derivatif Ekuiti CITIC CLSA Malaysia, Zac Chooi berkata, syarikat tersebut merancang untuk memperluaskan liputan waran berstruktur kepada 100 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang akhir 2025.  

“Jadi, pada kadar enam hingga sepuluh syarikat baharu setiap dua minggu, kami mengharapkan dapat meliputi kebanyakan saham berkapitalisasi besar dari pelbagai sektor yang layak untuk penerbitan waran berstruktur di Malaysia menjelang suku ketiga tahun ini. 

“Untuk memenuhi kriteria penerbitan, sesebuah syarikat mestilah mempunyai modal pasaran sekurang-kurangnya RM500 juta. Jadi, CLSA akan memberi tumpuan terutamanya kepada saham pertengahan hingga berkapitalisasi besar, khususnya dalam sektor yang dijangka menarik minat pelabur.  

“Dan buat masa ini, kami menerbitkan waran atas saham tunggal di sini dan juga mempunyai perancangan untuk meneruskan penerbitan waran indeks,” katanya.  

Mengulas mengenai permintaan terhadap penerbitan saham berkapitalisasi besar, Zac berkata, ia berkait rapat dengan aktiviti pasaran secara keseluruhan dan beliau menyatakan bahawa secara keseluruhan, syarikat merasakan pasaran menunjukkan prestasi yang baik.  

“Volum dagangan sedikit menurun tahun ini dan walaupun indeks telah meningkat sedikit, CLSA kekal lebih berdaya tahan berbanding banyak rakan sebayanya di ASEAN.  

“Ketika ini, sentimen agak lemah, tetapi saya fikir dari pihak kerajaan, pelabur dan institusi, termasuk kami sendiri serta bank pelaburan lain, kami berada dalam posisi yang baik untuk bersedia menyambut pemulihan keyakinan dan volum dagangan menjelang akhir tahun ini,” ujarnya.  

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, penyenaraian itu bukan sahaja menandakan bab baharu bagi CLSA, malah merupakan langkah progresif ke hadapan untuk pasaran waran berstruktur di Malaysia. 

“Kami yakin kerjasama baharu ini akan terus merancakkan pasaran, memberikan manfaat berterusan kepada pelabur, penerbit dan komuniti pelaburan secara keseluruhan. 

“Dengan penerbitan hari ini, CLSA menjadi penerbit kelapan dan yang ketara, penerbit asing kedua dalam pasaran.

“Waran berstruktur telah menjadi instrumen penting di Bursa Malaysia, memberikan pelabur akses yang mudah dan kos efektif kepada pelbagai jenis instrumen kewangan. 

“Ini termasuk saham tempatan dan asing, indeks, ETF, dan niaga hadapan komoditi seperti Minyak Sawit Mentah, Emas, dan Minyak Mentah,” katanya. 

Menurutnya,  Nilai Dagangan Harian Purata (ADV) bagi waran berstruktur telah menunjukkan peningkatan yang ketara, daripada RM56 juta pada 2023 kepada RM123 juta pada  2024. 

“Ini mencerminkan penerimaan meluas terhadap waran berstruktur sebagai pilihan pelaburan yang menangkap peluang pasaran.

“Dengan CLSA menyertai pasaran waran berstruktur kami, pelabur mendapat akses kepada peluang yang lebih meluas dan portfolio yang lebih pelbagai daripada instrumen sokongan tempatan,” ujarnya.-UTUSAN