12 pelumba cilik berentap pada Kejohanan MiniMoto RCB di Sepang

Sukan

PETALING JAYA: Sebanyak 12 pelumba cilik bakal berentap pada Kejohanan MiniMoto RCB yang merupakan sebuah program pembangunan bakat muda bermula hari ini dan esok di Litar Antarabangsa Kart Sepang.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan RCB, sesi pemilihan yang berlangsung pada 12 April lalu di trek Sepang berjaya menarik 35 orang peserta mendaftar secara dalam talian bagi merebut tempat pada kejohanan itu.

Julung kali dianjurkan pada tahun ini, perlumbaan pusingan pertama akan mengetengahkan pelumba-pelumba muda Malaysia berusia antara 6 hingga 9 tahun.

“Perlumbaan ini juga buat julung kalinya berlangsung di litar penuh sepanjang 1.243km yang telah diiktiraf oleh Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM),” kata kenyataan itu.

Pengurus Komunikasi Kumpulan MKA, Norlina Ayob telah merasmikan kejohanan itu yang akan diseliakan oleh bekas pelumba Moto2 dan Moto3 Malaysia, Zulfahmi Khairuddin dari ZK Racing selaku Pengurus Kejuaraan.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Pemasaran MKA, Marcus Leong dalam kenyataannya berkata, RCB telah menyokong perlumbaan MiniGP selama beberapa tahun melalui pembekalan alat ganti teknikal dan sokongan kewangan untuk program akar umbi tersebut.

“Kali ini untuk RCB MiniMoto pula, kami berbangga menjadi penaja utama dan diharapkan usaha ini dapat membantu mengukuhkan lagi ekosistem program pembangunan di peringkat akar umbi.

“Sebagaimana MiniGP, saya amat berharap Kejohanan MiniMoto dapat mencungkil dan membimbing bakat muda yang memiliki potensi besar.

“Tidak mustahil satu hari nanti, pelumba dari program ini akan mewakili Malaysia di pentas MotoGP pula,” katanya.

Marcus berkata, melalui program akar umbi yang disokong RCB telah berjaya melahirkan bakat-bakat muda seperti Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan.

“Kami berharap kejohanan ini akan menjadi pencetus kepada lebih banyak acara seumpamanya dianjurkan di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN