PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil pendekatan berhemat dalam menangani kadar dasar semalaman (OPR) yang disifatkan sebagai instrumen dasar berkuasa dan perlu digunakan apabila memerlukan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keputusan menaikkan kadar OPR dibuat secara berperingkat berbanding negara lain yang menaikkan kadar secara agresif bagi mengawal inflasi, selepas OPR diturunkan kepada 1.75 peratus semasa pandemik Covid-19.
“BNM juga menaikkan kadar, namun secara berhemat dan mencapai kadar yang agak akomodatif pada 3.0 peratus yang mana selesa bagi perniagaan untuk masih terus beroperasi,” katanya pada Forum Kepimpinan ASEAN di Washington, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan BNM mengekalkan kadar OPR pada 3.0 peratus dan rangka kerja luar jangka Malaysia, sekiranya berlaku lebih banyak ketidaktentuan dan turun naik pasaran pada masa hadapan.
Amir berkata, kadar inflasi keseluruhan negara mencatatkan penurunan kepada 1.4 peratus pada Mac lalu berbanding 1.8 peratus pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan tekanan inflasi berada dalam keadaan terkawal.
“Buat masa ini, kadar OPR 3.0 peratus tidak memberikan sebarang tekanan kepada kerajaan.
“Bagaimanapun, jika keadaan menjadi sukar, adakah ada instrumen untuk dipertimbangkan? Ya, ada tetapi kami tidak mengambil keputusan secara dahuluan,” katanya.
Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM ketiga dijadual berlangsung pada 8 Mei ini bagi membuat keputusan OPR. – UTUSAN