TAPAH: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menunjukkan kerjasama erat parti itu bersama Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semula lapisan jentera BN dan PH telah bekerja bertungkus-lumus menarik pengundi.
“BN dan PH telah bekerja dan bertungkus-lumus cari, meraih pengundi. Macam-macam kita buat.
“Saya sendiri berulang ke beberapa tempat (Ayer Kuning). Itu tanda kerjasama erat dalam Kerajaan Perpaduan ini,” katanya ketika berucap meraikan kemenangan BN di Pusat Gerakan BN di Kampung Haji Tahir di sini malam ini.
Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak berkata, kemenangan itu juga menunjukkan pengundi Ayer Kuning tidak termakan dengan fitnah oleh pembangkang yang cuba meracuni pemikiran rakyat.
“Jadi jangan ada siapa datang ke Ayer Kuning ini bawa fitnah meracun pemikiran rakyat, mengadu domba. Ini secara sah ditolak pengundi.
“Terima kasih kepada penceramah, jentera meraih undi tanpa perlu maki hamun orang, tanpa perlu buat fitnah tetapi dengan kasih sayang, merayu kepada mereka supaya beri undi kepada calon kita,” katanya.
Saarani menambah, Kerajaan Perpaduan komited untuk berbuat kebajikan kepada rakyat negeri Perak dan Malaysia.
“Alhamdulillah penduduk dan pengundi Ayer Kuning faham, menerima hujah, rayuan kita. Mari kita teruskan kasih sayang ini.
“Pencinta kedamaian hari ini kita teruskan cara yang sama berkempen tanpa perlu memaki sesiapa,” katanya.
Beliau turut bergembira dengan peningkatan undi pengundi muda, kaum Melayu dan Cina.
“Saya percaya jika kita dapat teruskan dari masa ke semasa jadi kerajaan yang berwibawa bukan sahaja di Perak tetapi seluruh Malaysia,” katanya. – UTUSAN