PETALING JAYA: Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria terus mengharumkan nama negara apabila dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi penggal 2025–2029.
Pemilihan itu membuktikan pengiktirafan komuniti badminton dunia terhadap kepimpinan, visi dan komitmen jangka panjang beliau dalam memajukan sukan badminton.
“Tan Sri Norza adalah simbol kebanggaan Malaysia dan contoh kepimpinan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Beliau membawa suara Malaysia ke pentas tertinggi tadbir urus badminton dunia dan kami yakin beliau akan terus menyumbang kepada pembangunan global sukan ini,” kata Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan hari ini.
BAM diwakili pada Mesyuarat Agung Tahunan BWF yang berlangsung di Xiamen, China, hari ini.
Dengan pemilihan ini, kesinambungan wakil Malaysia dalam badan induk dunia itu terus terpelihara.
BAM turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Norza dalam menggalas tanggungjawab besar tersebut. – UTUSAN