Fandi enggan ulas isu pengadilan perlawanan akhir Piala Malaysia

Sukan

KUALA LUMPUR: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad memilih untuk tidak mengulas panjang berhubung mutu pengadilan pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Fandi turut enggan mengulas mengenai pemilihan Razlan Joffri Ali sebagai pengadil perlawanan, walaupun beliau pernah direhatkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada November tahun lalu.

“Saya tak pasti, kita berusaha sahaja. Anda lihat sendiri perlawanan tadi, saya tak boleh jawab itu.

“Sebenarnya bukan tugas saya untuk memberi komen mengenai pengadil, saya hanya kecewa kami hilang seorang pemain dalam perlawanan yang mana ia menjejaskan persembahan kami,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Sri Pahang bermula garang apabila membuka jaringan menerusi T. Saravanan pada minit ke-14, namun rentak mereka terganggu selepas Sergio Aguero dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-34.

Johor Darul Ta’zim (JDT) turut kehilangan seorang pemain selepas Park Jun Heong menerima nasib sama pada minit ke-57 akibat kekasaran ke atas Mykola Ahapov.

Dalam masa sama, Fandi meluahkan rasa puas hati terhadap persembahan anak buahnya meskipun pasukan ketinggalan pada penghujung permainan.

“Saya minta mereka fokus walaupun kita bermain dengan 10 pemain selepas Sergio Aguero dibuang padang.

“Mereka bersemangat memberikan 200 peratus walaupun kami ketinggalan, namun pemain tetap berusaha mencari gol,” katanya.

Bagaimanapun, kelebihan tidak berpihak kepada Tok Gajah apabila JDT bangkit mencatat kemenangan 2-1 hasil jaringan Bergson Da Silva dan Arif Aiman Hanapi.-UTUSAN