DBKL, Yayasan Z Zurich lancar Pelan Daya Tahan Komuniti 

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Yayasan Z Zurich melancarkan Pelan Pelaksanaan Daya Tahan Komuniti bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Beringin dan Kampung Pasir Baru. 

Pelan ini dilaksanakan di bawah Program Daya Tahan Iklim Bandar (UCRP) Kuala Lumpur. 

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif berkata, Both Community Resilience Implementation plans highlight community driven resilience. 

Ujarnya, pelan ini melambangkan tindakan, pemilikan dan harapan, selain sejajar sepenuhnya dengan Rancangan Struktur Kuala Lumpur 2040.

“Saya berbangga dengan 15 program utama ini, serta komitmen kukuh terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Program-program ini menyumbang kepada aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang berdaya tahan, mampan, inklusif dan bersedia menghadapi masa depan.

“Selepas ini, DBKL bersama rakan kongsi akan menggerakkan sumber dan melaksanakan intervensi awal di Kampung Pasir Baru dan PPR Beringin dan sekiranya program ini berjaya, projek komuniti ini akan dijadikan model untuk diperluaskan ke seluruh Kuala Lumpur.

“Kami komited untuk berkongsi pengalaman serta pengajaran yang diperoleh dengan bandar-bandar lain di Malaysia seperti Melaka dan Seberang Prai. Kami juga berharap dapat belajar daripada rakan serantau di ASEAN yang turut bersemangat menyumbang kepada gerakan global untuk adaptasi dan daya tahan iklim,” katanya semasa melancarkan Pelan Pelaksanaan Daya Tahan Komuniti di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Negara Zurich Malaysia, Junior Cho dan Pengarah Wilayah bagi Asia Timur, Asia Tenggara dan Oceania, C40 Cities, Murali Ram.

Sementara itu, Ketua Yayasan Z Zurich Foundation, Grégory Renand berkata, untuk pemilihan komuniti ini, pihaknya menggunakan Pengukuran Daya Tahan Iklim untuk Komuniti (CRMC).

Menurutnya, CRMC merupakan sebuah kerangka khusus berasaskan lebih satu dekad penyelidikan dan pengalaman dalam membina ketahanan komuniti di seluruh dunia.

“Kampung Pasir Baru dipilih kerana kekerapan banjir serta populasi warga emas yang rentan. Projek di sini bertujuan meningkatkan keselamatan dan kualiti hidup dengan menangani isu banjir.

“PPR Beringin pula dipilih berdasarkan kerentanan sosial, ekonomi dan geografinya. Kami mengadakan konsultasi dengan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, serta menjalankan tinjauan haba untuk menilai kesan terhadap kehidupan harian penduduk.

“CRMC ini membolehkan kami memahami apa yang paling penting bagi komuniti berisiko, seterusnya membangunkan penyelesaian yang disesuaikan bersama mereka,” katanya.-UTUSAN