GEORGE TOWN: Pelari remaja Sepanyol, Marcos Villamuera Izquierdo mengungguli acara larian bukit Kailas Penang Skyrace apabila menjuarai saingan 30 kilometer (km) Pro Sky dan 10km Short Sky, manakala Iris Pessey dari Perancis pula memenangi kategori 30km wanita di Bukit Bendera.
Izquierdo, 19, menamatkan saingan 30km Pro Sky dengan catatan masa 3 jam 45 minit 22 saat(s) manakala dalam kategori 10km Short Sky pula menyaksikan dia mencatat 1’14:39s.
Dia mengakui perlumbaan di Bukit Bendera, Pulau Pinang itu adalah paling mencabar pernah diharunginya setakat ini ekoran terpaksa berdepan laluan sukar selain cuaca ekstrem.

“Semuanya berjalan lancar untuk perlumbaan kali ini. Ia memang sukar, mungkin antara perlumbaan paling mencabar pernah saya sertai setakat ini dan ia disebabkan oleh cuaca panas.
“Pada awalnya saya hanya ingin berlumba dalam acara 10km tetapi saya merasakan ada peluang untuk mencatat keputusan terbaik bagi perlumbaan (30km) ini. Bagi saya, pengalaman ini sangat menarik,” katanya.
Lebih 1,200 pelari dari seluruh dunia menyertai kejohanan di ibu negeri Pulau Pinang itu bagi menguji diri mereka dengan cabaran pendakian teknikal di Bukit Bendera.
Sementara itu, dua pelari tempatan, Milton Amat dan Daved Simpat membuktikan mereka mampu memberikan cabaran apabila masing-masing menamatkan larian 30km di tempat ketiga dan kelima.
Dalam kategori wanita bagi acara 30km, pelari dari Perancis, Iris Pessey muncul juara menerusi catatan masa 4’48:03s, sekali gus memperbaiki pencapaian tahun lalu di mana dia sekadar muncul naib juara.

Untuk rekod, acara larian bukit anjuran bersama MMTF Consultant, Malaysia Mountain Goat dan Penang International Hikers itu berjaya menarik 1,200 penyertaan dari seluruh dunia.
Ini merupakan kali kedua berturut-turut Penang Skyrace menjadi sebahagian daripada Siri Dunia Merrell Skyrunner dan kali ini menjadi tuan rumah bagi pusingan keenam selepas aksi terdahulu berlangsung di Sepanyol, Mexico, Chile dan Perancis.
Siri Dunia Merrell Skyrunner tahun ini merangkumi 23 perlumbaan di seluruh dunia, dengan Malaysia menjadi salah satu daripada hanya empat negara Asia bersama-sama Jepun dan Korea Selatan yang disenaraikan dalam kalendar ini.-UTUSAN