Saya tak komen artikel yang merujuk sumber tak bernama – Peja

Politik

IPOH: Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu enggan mengulas laporan yang mendakwa terdapat surat akuan bersumpah (SD) ditandatangani ketua bahagian Bersatu Perak meminta beliau digantikan.

Menurutnya, ini kerana laporan berita tersebut memetik sumber tanpa nama.

“Saya tak komen atas artikel yang merujuk sumber yang tak bernama. Sorry,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas laporan pergolakan dalam Bersatu Perak susulan isu cadangan pertukaran kerusi wakil rakyatnya dalam DUN didakwa semakin meruncing apabila ada surat SD meminta Ahmad Faizal diganti.

Menurut laporan tersebut, perkara itu didedahkan salah seorang daripada ketua bahagian Bersatu di negeri ini yang enggan dinamakan.

Beliau mendakwa surat SD terbabit ditandatangani 16 daripada 24 ketua bahagian Bersatu Perak yang tidak bersetuju dengan cara Ahmad Faizal atau  Peja memohon pertukaran tempat antara ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dengan ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Bandi.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak sebelum ini mengesahkan memohon menukar tempat duduk  Zainol Fadzi susulan pelantikan Nadziruddin sebagai Setiausaha Bersatu Perak.

Mac lalu Zainol Fadzi meletak jawatan sebagai Setiausaha Bersatu Perak. – UTUSAN