Marc Marquez ‘bangkit’ semula di Jerez

Sukan

JEREZ: Selepas terjatuh dalam Grand Prix (GP) Sepanyol pada Ahad, Marc Marquez kembali bangkit dengan mempamerkan prestasi luar biasa apabila mendominasi kedua-dua sesi ujian rasmi MotoGP di Litar Jerez, kelmarin.

Pelumba Ducati itu membuktikan dia belum menyerah kalah apabila menjadi satu-satunya penunggang yang mencatat masa dalam lingkungan satu minit 35 saat (s), mengatasi pencabar terdekat, Maverick Vinales (KTM) dan Fabio Quartararo (Yamaha).

“Bagusnya ujian ini dibuat terus selepas kesilapan semalam kerana saya dapat sahkan semula perasaan positif sepanjang hujung minggu.

“Kami ada pelan panjang dengan banyak perkara kecil untuk diuji, bukan sesuatu yang besar, tetapi tetap membawa perbezaan pada prestasi,” kata Marc Marquez.

Marc Marquez yang kini hanya satu mata di belakang adiknya, Alex Marquez dalam kedudukan kejuaraan, memberi tumpuan kepada peningkatan kecil seperti rasa bahagian hadapan, elektronik dan tayar Michelin sepanjang hari.

Juara dunia enam kali itu turut mendedahkan mereka menguji semula tetapan elektronik yang sebelum ini kurang diberi perhatian ketika memilih antara konsep jentera GP24 dan GP25.

“Kami mencuba beberapa tayar Michelin. Kami mencuba (perisian) elektronik baharu, yang saya tidak tahu perlumbaan mana (MotoGP) akan diperkenalkan. Kami mencuba semula beberapa perkara elektronik yang kami ada pada pramusim.

” Bagaimanapun, dengan (memutuskan) konsep GP25-24 kami tidak dapat mencuba dengan baik. Jadi kami mencuba semula di sini dan beberapa daripadanya adalah positif,” katanya.

MotoGP kini akan beralih ke Litar Le Mans dalam dua minggu lagi, dan dengan momentum luar biasa ini, ramai yang percaya Marquez bakal ‘mengamuk’ di Perancis. – AGENSI