Alliance Bank menang lima anugerah berprestij 

Perniagaan

PETALING JAYA: Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam sektor perkhidmatan kewangan dengan memenangi lima anugerah berprestij pada suku pertama tahun ini. 

Pengiktirafan ini menyerlahkan komitmen bank terhadap inovasi digital, amalan perbankan mampan dan usaha berterusan dalam memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara.

Alliance Bank berkata, pihaknya meraih Anugerah Bank PKS Terbaik di Malaysia dalam Global SME Banking Innovation Awards 2025, menandakan tahun kedua berturut-turut bank menerima pengiktirafan tersebut. 

“Anugerah ini mencerminkan kejayaan strategi bank dalam memperkukuh pertumbuhan PKS melalui pendekatan inovatif dan lestari. 

“Sehingga 31 Disember 2024, bank mencatat pertumbuhan pinjaman PKS sebanyak 14 peratus tahun ke tahun, mengatasi kadar pertumbuhan industri sebanyak lapan peratus dan meningkatkan pegangan pasaran kepada 5.35 peratus.

“Di peringkat serantau, bank turut menerima Anugerah ESG Perbankan ASEAN di ASEAN Banking and Finance Summit 2025, atas usaha mendorong penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan perniagaan. 

“Melalui Program Impak Kelestarian (SIP), Alliance Bank telah menyalurkan lebih RM1 bilion pembiayaan baharu dan membantu lebih 1,000 PKS dalam membangunkan penilaian iklim serta pelan hala tuju ESG tersuai,” katanya dalam kenyataan. 

Bank kini telah menjana RM14 bilion dalam perniagaan perbankan mampan, menghampiri sasaran RM15 bilion menjelang tahun kewangan 2027.

Sementara itu, Alliance Bank turut meraih Anugerah Perak bagi Bank PKS Terbaik Asia Pasifik dalam Qorus Reinvention Awards Asia Pacific 2025. 

Selain itu, bank juga dianugerahkan Inisiatif Produk PKS Terbaik dalam Retail Banker International Asia Trailblazer Awards 2025.

Dalam kategori berbeza, Alliance Bank menerima Inisiatif Pembayaran Paling Inovatif menerusi pelancaran kad kredit maya Alliance Bank Visa Virtual Credit Card (VCC) yang menawarkan kaedah pembayaran digital lebih selamat dan melindungi maklumat kewangan pelanggan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, malah bukti komitmen kami terhadap inovasi, kelestarian dan pendekatan berorientasikan pelanggan. 

“Sebagai bank untuk hidup, kami bertekad untuk terus mentransformasikan pengalaman perbankan dan mencetus perubahan positif dalam komuniti yang kami sokong.

“Dengan pencapaian ini, Alliance Bank menegaskan komitmennya dalam melaksanakan strategi Acceler8 dan memperkukuh kedudukannya sebagai rakan kewangan yang dipercayai untuk rakyat dan perniagaan di Malaysia,” katanya.-UTUSAN