LONDON: Selepas gagal membantu Al-Nassr menempah tiket ke final Liga Juara-Juara Asia, penyerang kelab tersebut, Cristiano Ronaldo mengeluarkan kenyataan penuh emosi berikutan kekalahan 3-2 kepada Kawasaki Frontale.
Kelab Liga Pro Saudi itu tewas apabila Yuto Ozeki dan Akihiro Ienaga menjaringkan gol menafikan gol penyamaan Sadio Mane pada minit ke-28 selepas Tatsuya Ito terlebih dahulu meletakkan Kawasaki Frontale di depan pada minit ke-10.
Aiman Yahya menjaringkan gol dari jarak jauh dengan baki tiga minit permainan untuk Al-Nassr namun usaha tersebut masih belum cukup untuk mengatasi kelab Jepun itu.
Ronaldo sendiri berpeluang menyamakan kedudukan pada saat akhir permainan dan walaupun berjaya melepasi penjaga gol namun percubaannya itu dinafikan oleh pertahanan lawan.
“Kadang-kadang impian perlu ditangguhkan. Saya bangga dengan pasukan ini dan segala yang telah kami berikan di atas padang.
“Terima kasih kepada semua peminat yang percaya dan menyokong kami sepanjang perjalanan. Sokongan anda sangat bermakna,” tulis Ronaldo di akaun media sosial miliknya.
Kawasaki Frontale akan bertemu Al-Ahli, satu lagi kelab Arab Saudi yang turut dibarisi ramai pemain antarabangsa berprofil tinggi, dalam perlawanan akhir pada Sabtu ini dengan kedua-dua kelab berusaha memenangi kejuaraan benua buat kali pertama.
“Ia satu perlawanan yang amat sukar tetapi pemain membuktikan mereka mampu memberikan persembahan terbaik di tengah padang,” kata jurulatih Kawasaki Frontale, Shigetoshi Hasebe. – AGENSI