MCA mampu bangkit, kukuhkan kerjasama dalam BN

Politik

IPOH: Di sebalik gesaan supaya MCA menentukan masa depannya sendiri jika Barisan Nasional (BN) terus menangguhkan keputusan yang jelas mengenai hala tuju parti itu, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong menegaskan MCA dan komponen BN yang lain harus memperkukuh kerjasama.

Choo Seong yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda BN berkata, MCA mampu kembali bangkit dan terus memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan Malaysia.

Menurutnya, suara MCA mesti kembali lantang dalam memperjuangkan isu rakyat, termasuk kos sara hidup, pendidikan, pekerjaan dan masa depan negara yang mampan.

“Kini adalah masa untuk merapatkan saf. MCA dan komponen BN yang lain harus memperkukuh kerjasama, mendekati generasi muda, serta memperjuangkan dasar-dasar yang lebih inklusif serta progresif.

“Saya menggesa supaya semua pihak memperkukuhkan semula prinsip perjuangan BN yang selama ini menjadi asas kepada kestabilan, perpaduan, dan kemajuan Malaysia.

“Perjalanan dan perjuangan MCA belum selesai. Dengan transformasi dalaman, keberanian dalam menyuarakan kebenaran, dan iltizam kolektif untuk kembali mendengar denyut nadi rakyat, MCA mampu kembali bangkit dan terus memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, sejak ditubuhkan pada tahun 1949, MCA menjadi tunjang penting dalam pembangunan negara, khususnya dalam kerangka Parti Perikatan dan kemudiannya BN.

Beliau berkata, MCA bukan sahaja memperjuangkan hak dan kepentingan masyarakat Cina, tetapi juga menyumbang kepada kestabilan politik, kemajuan ekonomi, dan pembangunan pendidikan negara sejak zaman sebelum merdeka hinggalah ke hari ini.

“Namun dalam beberapa pilihan raya umum kebelakangan ini, cabaran terhadap MCA semakin ketara. Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, MCA hanya memenangi dua kerusi Parlimen.

“Keputusan ini menjadi isyarat jelas bahawa parti perlu melakukan muhasabah dan anjakan paradigma untuk kekal relevan dalam era politik baharu yang semakin mencabar dan bersifat rentas kaum,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, menyeru parti itu menentukan masa depannya sendiri sekiranya BN terus menangguhkan keputusan jelas mengenai hala tuju gabungan tersebut. – UTUSAN