Miami kekal dalam kalendar F1 sehingga 2041

Sukan

MIAMI: Litar jalanan sekitar Stadium Hard Rock di Miami kekal menjadi tumpuan Formula Satu (F1) selepas kontraknya disambung hingga tahun 2041.

Pengumuman itu menjadikan Miami sebagai antara tuan rumah terpanjang dalam kalendar F1, mengatasi beberapa destinasi Eropah yang lebih lama bertapak.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) F1, Stefano Domenicali menyifatkan sambungan itu sebagai langkah strategik untuk memperkukuh pasaran Amerika Syarikat.

“Memanjangkan perjanjian ini hingga 2041 adalah satu pencapaian penting yang mengukuhkan kehadiran kami di Amerika serta mengeratkan lagi hubungan dengan peminat di sana yang semakin bertambah dan penuh semangat.

Rakan pengurusan Miami GP, Tom Garfinkel pula berkata kepercayaan yang diberikan oleh F1 menunjukkan penganjuran di Miami kini berada di landasan kukuh.

“Untuk diberikan sambungan selepas hanya tiga penganjuran membuktikan apa yang kami rasakan sejak awal, Grand Prix (GP) Miami akan kekal lama,” kata Garfinkel.

Tahun lalu, perlumbaan di Miami mencatatkan sejarah apabila menarik tontonan tertinggi dalam sejarah F1 di Amerika Syarikat (AS) dengan lebih 3.1 juta penonton.

Langkah ini turut dilihat sebagai satu lagi strategi penting memperluas dominasi F1 di benua Amerika selepas kejayaan GP Austin dan Las Vegas. – AGENSI