IPOH: MCA tidak mungkin dibubarkan untuk menyertai DAP seperti yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, MCA dan DAP jauh berbeza bagai minyak dan air kerana MCA parti moderat yang mengamalkan kesederhanaan dan meraikan kepelbagaian.
Katanya, MCA bukan parti ekstrem yang tergamak menggunakan sentimen perkauman semata-mata mahu meraih sokongan.
Choo Seng yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda BN mengulas kenyataan Zhemin hari ini, MCA patut menyerahkan dua kerusi majoriti Melayu kepada UMNO dan dibubarkan untuk sertai DAP.
“Zhemin dari DAP tidak layak untuk komen tentang Barisan Nasional (BN) kerana DAP bukan parti komponen BN.
“Mana mungkin MCA sertai DAP, bagai minyak dan air. MCA adalah parti yang berjuang bersama UMNO menuntut kemerdekaan negara dan semangat BN yang patriotik kepada negara masih didokong sehingga kini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengenai kenyataan Zhemin bahawa MCA bukan lagi mewakili masyarakat Cina, Choo Seng mencabar Ahli Parlimen Kampar itu mengenai janji DAP untuk mengiktiraf sijil peperiksaan bersepadu (UEC) sama ada ia sudah dilaksanakan atau sebaliknya.
“Juga, setelah lebih dua tahun menjadi kerajaan, adakah janji untuk pajakan tanah 999 tahun sudah ditunaikan atau tidak.” katanya.
Hari ini, dalam laporan portal berita, Zhemin berkata, MCA patut menyerahkan dua kerusi majoriti Melayu kepada UMNO dan dibubarkan untuk sertai DAP.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan UMNO dibubarkan dan menyertai Bersatu.
Zhemin berkata, cadangan Muhyiddin itu sebenarnya lebih sesuai ditujukan kepada MCA kerana MCA hanya tinggal dua kerusi Parlimen dan kedua-duanya terletak di kawasan majoriti pengundi Melayu. – UTUSAN