KUALA LUMPUR: West River Berhad (West River) membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) pada 39.5 sen sesaham, premium 1.28 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 39 sen sesaham.
Saham itu meningkat kepada paras tertinggi harian sebanyak 40.5 sen sebelum menyusut ke paras terendah 37 sen dalam tempoh satu jam pertama dagangan.
Ia kemudiannya pulih dan didagangkan pada 39 sen setakat jam 10.50 pagi, dengan lebih daripada 45 juta saham bertukar tangan.
Pengarah Urusan West River, Lim Yong Lai berkata, West River berjaya mengumpul sebanyak RM27.90 juta daripada IPO, sekali gus mencatatkan pembukaan dagangan yang memberangsangkan di Pasaran ACE dan satu pencapaian positif meskipun berdepan dengan ketidaktentuan pasaran semasa.
“Kami sangat berpuas hati dengan sambutan pelabur dan merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran melalui pembelian tanah serta pembinaan kemudahan baharu dalam tempoh tiga tahun,” katanya dalam sidang media selepas penyenaraian West River di Pasaran ACE Bursa Malaysia, semalam.
Menurutnya, kumpulan telah merancang untuk membina sebuah kemudahan pembuatan baharu di Lembah Klang serta mengembangkan kehadiran pasaran ke Johor dan Pulau Pinang.
“Kami akan menyalurkan RM10 juta (35.84 peratus) daripada hasil IPO ke dalam perolehan tanah dan pembangunan kemudahan pembuatan baharu bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.
“Rancangan awal kami adalah untuk membeli tanah, mendapatkan kelulusan yang diperlukan dan membina kilang sendiri. Ia satu proses yang kami jangkakan akan mengambil masa sekitar tiga tahun.
“Namun begitu, kami juga sedang mempertimbangkan pilihan untuk memperoleh bangunan sedia ada yang boleh memendekkan garis masa bergantung kepada ketersediaan di pasaran,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan yang dicadangkan itu dijangka mempunyai keluasan binaan sekitar 35,000 kaki persegi, jauh lebih besar berbanding tapak semasa seluas 2,088 kaki persegi di Kajang.
“Kilang ini akan menampung barisan pengeluaran yang diperluas bagi pembuatan panel elektrik dan papan agihan, selain menyediakan ruang stor,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pada masa ini, kira-kira 80 peratus daripada hasil kumpulan datang dari Lembah Klang, namun mereka kini sedang membidik peluang projek di Johor dan Pulau Pinang, terutamanya dalam sektor hospitaliti dan pusat data.
“Kami mempunyai dua projek yang masih menunggu di bahagian utara, satu di Langkawi dan satu lagi dalam sektor hotel.
“Pada masa yang sama, kami sedang membida projek pusat data di Johor, yang kini merupakan sektor yang sangat hangat. Kira-kira 13 peratus daripada buku tender RM1 bilion kami terdiri daripada projek pusat data,” katanya.
Mengulas unjuran Melaka Securities yang menjangkakan pertumbuhan hasil teras sebanyak 9.7 peratus secara purata tahunan dalam tempoh tiga tahun, kumpulan itu optimis sasaran itu mampu dicapai.
“Dari segi dalaman, kami menjangkakan pertumbuhan sekitar 15 peratus. Oleh itu, unjuran 9.7 peratus itu adalah sesuatu yang realistik dan kami yakin mampu melepasi sasaran tersebut.
“Pasaran mekanikal dan elektrikal (M&E) masih kukuh dan permintaan terus meningkat. Justeru, kami tidak melihat sebarang halangan besar untuk mencapai pertumbuhan yang disasarkan,” katanya. – UTUSAN