Mohd. Nazrul Izad sudah hantar surat rasmi nyata hasrat beli saham Sri Pahang FC

Sukan

KUANTAN: Usahawan hartanah yang sebelum ini menyatakan minat membeli saham Sri Pahang FC sudah menghantar surat rasmi berhubung hasrat itu kepada pengurusan skuad terbabit.

Pengerusi NNA Land, Datuk Mohd. Nazrul Izad Mohd. Arsad berkata, surat itu dihantar ke pejabat Sri Pahang FC di Jalan Bukit Ubi di sini, semalam.

Menurutnya, ia diterima oleh pegawai tadbir pasukan Sri Pahang, Zulhilmi Dzulkaple.

“Surat rasmi itu menyatakan tentang minat NNA Land untuk membeli saham Sri Pahang. Tujuan utama pelaburan ini untuk membawa perubahan ke arah kemajuan skuad ini.

“Kami berpandangan Sri Pahang FC mempunyai potensi besar untuk berkembang. Oleh itu kami bersedia berunding dan membuat penyelesaian terhadap hutang yang ada jika persetujuan dicapai di pihak kami dan Sri Pahang FC.

“Kami menantikan peluang untuk mengadakan pertemuan rasmi bersama pihak pengurusan Sri Pahang FC dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa, Mohd. Nazrul Izad menyatakan minat membeli Sri Pahang FC demi memastikan skuad Tok Gajah terus berjuang dalam liga bola sepak negara.

Sehingga ini status skuad kendalian jurulatih, Fandi Ahmad dalam persaingan Liga Malaysia (Liga M) masih menjadi tanda tanya selepas pemiliknya, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah menyatakan hasrat untuk berundur.

Tengku Abdul Rahman menyatakan hasrat mengundur diri semasa ditemu bual Astro Arena selepas aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 26 April lalu.

Nama Sri Pahang menjadi tumpuan selepas ura-ura pasukan dari Pantai Timur itu tidak akan menyertai saingan Liga Super musim depan kerana isu kewangan. – UTUSAN