PETALING JAYA: Pemain muda sepak takraw negara, Khairul Aman Mohd Rosdi mahu menjadikan panggilan pertamanya bersama pasukan kebangsaan sebagai pembakar semangat untuk menghadapi kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025.
Khairul Aman, 22, yang merupakan muka baharu dalam skuad kebangsaan, mengakui pemilihannya adalah sesuatu yang mengejutkan, namun pada masa sama menjadi pemangkin untuknya membuktikan kemampuan bersama pemain senior.
“Alhamdulillah, ini adalah panggilan pertama saya untuk mewakili pasukan kebangsaan di kejohanan Asia ini. Saya sebenarnya agak terkejut juga sebab saya merupakan pemain muda dan baru naik dalam masa setahun.
“Tapi saya ambil itu sebagai cabaran untuk saya bersaing dengan pasukan negara lain. Biar orang cakap apa, kita ni sama level dengan senior-senior. Saya akan cuba yang terbaik,” katanya yang beraksi di posisi apit kanan.
Untuk Sepak Takraw Piala Asia 2025, Khairul Aman disenaraikan dalam acara regu bersama empat pemain lain iaitu Azlan Alias (apit kanan), Farhan Adam (apit kiri), Syahir Rosdi dan Haziq Hairul Nizam (tekong).
Mengulas tekanan bersama regu yang pernah berstatus juara dunia pada edisi tahun lalu, Khairul Aman berkata, dia tidak melihat perkara itu sebagai satu beban, sebaliknya mahu memanfaatkan peluang yang ada sebaik mungkin.
“Status regu juara pada edisi tahun lepas pada Piala Dunia itu bukan tekanan bagi saya. Memang sebab kita tahu regu Malaysia ni regu juara dunia.
“Jadi, bagi saya nak serap tekanan itu ambil masa sedikit lah. In sya-Allah, kita tengok pada Piala Asia nanti macam mana,” ujarnya.
Mengenai sasaran peribadinya dalam penampilan sulung bersama skuad kebangsaan di pentas Piala Asia, pemain kelahiran Kemaman, Terengganu itu hanya mahu memberikan aksi terbaik.
“Harapan saya, saya harap saya dapat buat yang terbaik dan untuk pasukan saya, semoga menang di tempat kita,” katanya.-UTUSAN