BARCELONA: Pada ketika Barcelona kelihatan hampir pasti mendakap trofi La Liga, Real Madrid masih kekal bertahan dengan harapan untuk mempertahankan kejuaraan mereka dan kini tiba pertembungan El Clasico di antara kedua-dua kelab itu, Ahad ini.
Selepas pasukan kendalian Hansi Flick mengalami kekalahan menyakitkan dalam masa tambahan kepada Inter Milan di separuh akhir Liga Juara-Juara, Selasa lalu, mereka perlu segera bangkit.
Barcelona yang menewaskan Real dalam final Copa del Rey dan Piala Super Sepanyol, mendahului Los Blancos dengan empat mata di puncak liga selepas mengumpul 79 mata dengan baki empat perlawanan.
Kekalahan di tempat sendiri pada Ahad ini di Stadium Olimpik bukanlah penamat mutlak bagi harapan kejuaraan Barcelona, tetapi akan meningkatkan tekanan terhadap pasukan muda dan kurang berpengalaman kendalian Flick.
“(Kami) perlu teruskan, kami ada lima hari untuk bersiap dan kami mahu menang,” kata jurulatih dari Jerman itu selepas kekalahan di Milan dalam salah satu perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara paling epik sepanjang zaman.
“(Kekalahan ini) mesti membangkitkan semangat untuk menjuarai liga, ini penting bagi saya,” kata Flick.
Selepas kemerosotan prestasi menjelang akhir tahun 2024, Barcelona kembali bertenaga secara fizikal dan mental hasil daripada rehat musim sejuk.
Sejak Januari, mereka menewaskan hampir setiap pasukan yang mereka hadapi, dengan rekod 24 perlawanan tanpa kalah.
“Saya tidak fikir ini (tewas kepada Inter) akan menjejaskan kami, ia satu tamparan hebat tetapi pasukan ini mempunyai mentaliti yang luar biasa dan kami akan terus berjuang untuk La Liga,” kata pertahanan Barcelona, Ronald Araujo.
Sebagai rekod, Barcelona gagal mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara apabila tewas agregat 7-6 kepada Inter selepas mereka kecundang 4-3 dalam aksi timbal balik, Selasa lalu. – AFP