Rumah siap dibina melonjak 30.2% pada suku pertama

Perniagaan

PETALING JAYA: Aktiviti pembinaan hartanah kediaman mencatat pertumbuhan kukuh pada suku pertama tahun ini apabila jumlah unit siap dibina melonjak 30.2 peratus kepada 9,329 unit berbanding 7,168 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Sr. Abdul Razak Yusak berkata, bilangan unit yang mula dibina juga menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 32.5 peratus kepada 28,344 unit berbanding 21,391 unit, mencerminkan trajektori positif dalam pembangunan sektor kediaman negara.

“Bagaimanapun, transaksi pasaran hartanah merosot 6.2 peratus kepada 97,772 transaksi bernilai RM51.42 bilion berbanding 104,194 transaksi bernilai RM56.47 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

“Meskipun transaksi bermula perlahan, peningkatan dalam aktiviti pembinaan dan pelancaran baharu terus menyokong momentum pasaran secara keseluruhan,” katanya menerusi pembentangan Laporan Pasaran Harta Suku Pertama 2025 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) semalam.

Menurutnya, sokongan berterusan kerajaan melalui Program Residensi Rakyat (PRR), Projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) serta pembangunan infrastruktur strategik menjadi antara pemangkin utama kepada kerancakan sektor pembinaan.

“Pelaburan strategik seperti Zon Kewangan Khas Forest City, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan zon bebas cukai di Pulau Satu, Forest City turut mula menunjukkan impak positif terhadap pasaran hartanah,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, pelancaran baharu hartanah kediaman meningkat lebih dua kali ganda kepada 12,498 unit berbanding 5,585 unit pada suku yang sama tahun lalu, dengan kadar jualan sebanyak 10.8 peratus.

“Pasaran hartanah kediaman tidak terjual (overhang) pula menunjukkan perkembangan bercampur. Sebanyak 23,515 unit bernilai RM15 bilion direkodkan, meningkat marginal sebanyak 1.6 peratus dari segi jumlah dan 7.7 peratus dari segi nilai berbanding suku keempat 2024.

“Namun, berbanding suku pertama tahun lalu, jumlah dan nilai overhang masing-masing mencatat penurunan 2.9 peratus dan 9.0 peratus.

“Segmen pangsapuri khidmat turut menunjukkan prestasi yang lebih kukuh dengan penurunan kepada 18,246 unit bernilai RM14.61 bilion, masing-masing menurun 6.7 peratus dan 6.9 peratus berbanding suku sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, pasaran komersial menyaksikan kadar penghunian kompleks perniagaan meningkat sedikit kepada 79.0 peratus berbanding 78.8 peratus pada suku sebelumnya.

Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) pula berada pada paras 225.3 mata, bersamaan harga purata RM486,070 seunit, meningkat 0.9 peratus secara tahunan.

Abdul Razak berkata, pasaran hartanah negara kekal mampan dan dijangka terus berdaya tahan, disokong perkembangan positif sektor pembinaan serta pertambahan pelancaran projek kediaman.

“Walaupun prospek keseluruhan pasaran positif, pemain industri perlu bersiap siaga menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan cabaran persekitaran luaran.

“Kerajaan MADANI juga memperkenalkan pelbagai inisiatif dalam Belanjawan 2025 bagi merangsang pemilikan rumah dan memperkukuh pasaran hartanah.

“Antara inisiatif tersebut termasuk pelepasan cukai pendapatan individu bagi pinjaman perumahan, pelaksanaan Skim Step-Up Financing di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SKJP) serta insentif kewangan dan infrastruktur di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan Forest City.

“Langkah-langkah ini dijangka terus merangsang pertumbuhan berterusan pasaran hartanah dalam jangka panjang,” katanya. – UTUSAN