JOHOR BAHRU: Johor optimis mampu merekodkan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM50 bilion bagi suku kedua tahun ini selepas berjaya mencatatkan RM27.4 bilion pada suku pertama.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keyakinan itu berdasarkan iklim pelaburan positif yang sedang dinikmati negeri ini, selari pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Pada April sahaja, kita telah merekodkan pelaburan kira-kira RM23 bilion. Jadi, kita yakin pelaburan bagi suku kedua tahun ini mampu mencecah antara RM50 hingga RM60 bilion.
“Pencapaian itu bukan angka semata-mata, sebaliknya melambangkan pembangunan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat menerusi pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti bagi rakyat, khususnya golongan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan kilang Oryx Stainless Malaysia Sdn. Bhd., di Pasir Gudang, dekat sini semalam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, Oryx Stainless melabur sebanyak RM40 juta dengan memberi tumpuan terhadap aktiviti kitar semula besi keluli.
“Kilang ini dapat memproses 150,000 tan besi keluli setahun, secara tidak langsung membantu mengurangkan pelepasan sehingga satu juta tan karbon dioksida di kawasan ini.
“Walaupun jumlah pelaburan tidak besar, namun kita menyokong projek seperti ini kerana mengambil kira kitaran ekonomi yang terlibat, ia juga membantu mengurangkan penggunaan bahan plastik tempatan,” katanya. – UTUSAN