Affin biaya RM500 juta pacu pengembangan MV6 ke Singapura

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Kumpulan Affin memeterai perjanjian pembiayaan bernilai RM500 juta dengan Macrovalue Six Sdn Bhd (MV6), menandakan satu langkah penting dalam perdagangan serantau antara Malaysia dan Singapura.

Kerjasama itu bagi membiayai sepenuhnya pengambilalihan 100 peratus kepentingan MV6 dalam Cold Storage Singapore (1983) Pte Ltd daripada DFI Retail Group Management Ltd.

Langkah ini menandakan kemasukan rasmi MV6 ke pasaran runcit Singapura melalui pemerolehan 89 kedai runcit di Singapura, terdiri daripada 48 kedai Cold Storage dan 41 cawangan Giant menyusuli kejayaan pemulihan GCH Retail (Malaysia), termasuk Giant Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, pembiayaan itu mencerminkan keupayaan bank tersebut dalam menyediakan penyelesaian kewangan rentas sempadan yang inovatif.

“Sebagai penaja utama pembiayaan ini, kami berbangga menjadi pemacu perluasan perniagaan Malaysia ke pasaran ASEAN, selari dengan ulang tahun ke-50 Affin dan komitmen kami untuk menjadikan Malaysia peneraju perdagangan serantau,” katanya semasa Majlis Menandatangani Pembiayaan Strategik Kumpulan dan MV6 di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Runcit GCH, Datuk Andrew Lim berkata, dengan infrastruktur Malaysia yang kukuh dan strategi setempat, MV6 menyasarkan untuk memberikan kemampuan dan kepelbagaian yang lebih besar kepada pengguna Singapura sambil mengukuhkan kedudukan Cold Storage sebagai jenama runcit premium.

Menurutnya, pengambilalihan Cold Storage itu bakal mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara Malaysia dan Singapura serta membolehkan penyelarasan operasi dan rantaian bekalan serantau secara lebih cekap.

“Kami merancang untuk membuka enam kedai Cold Storage di Singapura dan 12 cawangan di Malaysia.

“Ketika ini, perolehan kami mencecah RM2 bilion di Malaysia dan S$1 bilion di Singapura. Dengan pengembangan ini, kami menjangkakan pertumbuhan 10 peratus di kedua-dua pasaran dalam masa terdekat.

“Sasaran jangka sederhana kumpulan adalah untuk mencapai jumlah perolehan keseluruhan RM5.6 bilion merentas kedua-dua negara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun.

“IPO sudah tentu dalam radar kami dan ia akan mengambil masa kira-kira tiga tahun. Sementara itu, kami akan menumpukan pada membina nilai melalui pengoptimuman kos, mengembangkan suite produk kami dan meningkatkan infrastruktur IT kami.

“Bursa sangat aktif sekarang. Tahun lepas adalah tahun rekod untuk IPO, dan kami percaya Malaysia adalah platform yang baik untuk mengumpul modal,” katanya. – UTUSAN