PETALING JAYA: Seramai 251 calon menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan PKR di peringkat pusat.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah tersebut, 104 pencalonan diterima bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), 85 bagi Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan 62 lagi bagi Majlis Pimpinan Wanita.
Katanya, tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Ketua AMK pada pemilihan kali ini.
“Penyertaan yang amat memberangsangkan ini membuktikan Keadilan tidak ketandusan bakat pelapis.
“Ia turut memperkukuh kedudukan parti sebagai wadah perjuangan rakyat yang sentiasa memberi ruang kepada tokoh-tokoh baharu memperkasakan demokrasi dalaman,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Dr. Zaliha, proses pemilihan seterusnya akan melalui tempoh bantahan pada 11 dan 12 Mei, diikuti dengan proses rayuan terhadap sebarang bantahan pada 13 dan 14 Mei.
Senarai akhir calon akan dimuktamadkan pada 15 Mei, manakala tempoh rasmi berkempen bermula sejurus selepas itu sehingga 22 Mei pukul 11.59 malam.
Beliau berkata, semua calon perlu mematuhi segala peraturan dan tata etika pemilihan yang telah ditetapkan oleh parti.
“Kempen perlu dijalankan secara berhemah, matang dan penuh rasa hormat antara satu sama lain. Pemilihan ini mesti menjadi medan untuk memperkukuh saf perjuangan dalam semangat kekeluargaan yang menjadi asas Keadilan sejak dahulu,” katanya.
Tambahnya, JPP turut merakamkan penghargaan kepada semua calon dan anggota parti yang terus komited menjayakan proses pemilihan kali ini secara tertib, telus dan berintegriti.
“Komitmen ini merupakan cerminan kekuatan sebenar PKR sebagai parti yang terus mara ke hadapan bersama rakyat,” katanya. – UTUSAN