Perez intai tempat di Alpine bagi musim 2026

Sukan

LONDON: Masa depan Pelumba dari Mexico, Sergio Perez dalam kejuaraan Formula Satu (F1) terus menjadi bualan hangat apabila dikatakan sedang mengadakan rundingan dengan pasukan Alpine bagi menghadapi musim 2026.

Spekulasi itu tercetus selepas laporan ESPN mendedahkan bahawa Perez turut didekati pasukan baharu, Cadillac, yang dijangka menyertai F1 sebagai pasukan ke-11 bermula musim depan.

Bagaimanapun, difahamkan Cadillac masih menilai beberapa calon lain untuk diserap masuk ke dalam pasukan.

Alpine dilihat sebagai destinasi yang berpotensi buat Perez selepas pasukan itu mengejutkan ramai pihak apabila menggugurkan pelumba muda, Jack Doohan daripada lima perlumbaan akan datang dan memberikan peluang kepada Franco Colapinto, 21.

Tindakan Alpine itu sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa mereka sedang merombak barisan pemandu sedia ada, sekali gus membuka ruang buat Perez, 35, yang memiliki pengalaman luas untuk digandingkan bersama Pierre Gasly musim depan.

Perez sebelum ini mengumumkan perpisahan mengejut bersama Red Bull selepas tamat musim 2024 walaupun kontraknya bersama pasukan itu masih berbaki dua tahun.

Menurut Perez, keputusan itu berlaku dalam keadaan yang dia sendiri tidak dijangka akan berlaku.

“Semuanya berlaku dengan sangat pantas. Saya sendiri tidak jangka akan tinggalkan pasukan. Kami hanya mula berbincang secara serius selepas Grand Prix Qatar,” katanya.

Dengan 281 penyertaan, enam kemenangan dan 39 podium, Perez masih dilihat sebagai antara pelumba berpengalaman yang mampu menjadi aset kepada mana-mana pasukan, terutama selepas tiga musim menggalas cabaran Red Bull.-UTUSAN