KUALA LUMPUR: Skuad kuadran negara memulakan aksi kumpulan B dengan Langkah kanan selepas mudah membenam China 2-0 pada kejohanan Piala Asia Sepaktakraw ASTAF 2025, sebentar tadi.
Malaysia yang dibarisi Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak, Muhammad Shahalril Aiman Halim, dan Muhammad Afifuddin Mohd Razali menepati ramalan untuk menghadiahkan kemenangan buat Malaysia dengan keputusan straight set.
Pada set pertama skuad kuadran negara dilihat mencari rentak permainan apabila ketinggalan lima mata di belakang China sebelum menutup set pertama dengan kemenangan 15-10.
Pada set kedua,ketua jurulatih, Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif membuat percaturan apabila membuat pertukaran pemain dengan membawa masuk Muhammad Fetri Mohd Azwadi menggantikan Afifuddin.
Percaturan tersebut ternyata membuakan hasil apabila skuad negara menang mudah 15-3 pada set kedua,sekaligus memberi moral kepada pemain dalam memburu tiket ke separuh akhir.
Jurulatih negara, Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif ketika ditemui berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan pemain yang berjaya menyesuaikan diri dengan baik selepas sedikit ketinggalan pada awal permainan.
“Set pertama kita sedikit bekerja keras untuk cari rentak, tetapi mereka cepat menyesuaikan diri. Set kedua lebih tersusun dan pemain menguasai perlawanan dengan baik.
“Saya tekankan kepada pemain agar fokus kepada serangan dan kurangkan kesilapan. Serangan yang konsisten akan beri kita kelebihan mata,” katanya.
Tambah beliau, fokus utama pasukan ketika ini adalah untuk mara ke pentas final seperti yang disasarkan oleh persatuan, namun enggan terburu-buru dan mahu mengambil pendekatan ‘satu demi satu perlawanan’.
Skuad negara dijadual menentang Filipina pada jam 8 malam ini, yang sebelum ini tewas kepada Jepun 0-2.-UTUSAN