LONDON: Pemain tengah Manchester United, Casemiro, dilaporkan menolak untuk kembali bergandingan dengan Cristiano Ronaldo di Arab Saudi.
Keputusan berkenaan dibuat selepas pemain berusia 33 tahun itu memilih untuk kekal di Old Trafford sehingga kontraknya tamat pada musim 2025-2026.
Menurut laporan Sportskeeda, Casemiro dilihat semakin menyesuaikan diri dan kembali ke prestasi terbaiknya di bawah pengurusan Ruben Amorim.
Casemiro menjadi watak penting ketika membantu United mara ke final Liga Europa apabila pemain Brazil itu menyumbang gol dalam kedua-dua perlawanan separuh akhir menentang Athletic Bilbao.
Terdahulu, terdapat spekulasi yang mengaitkan Casemiro dengan kelab besar dari Brazil dan Arab Saudi, namun pemain ini memilih untuk terus berada di Old Trafford.
Sejak Januari lalu, Casemiro membuat 17 penampilan, menunjukkan ketabahan dan komitmen yang tinggi.
Selain itu, United turut mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontrak Casemiro selama setahun lagi.
Berdasarkan prestasi semasanya, kelab itu dijangka akan menggunakan peluang terbabit untuk terus mengekalkan bekas pemain Real Madrid tersebut.-AGENSI