BUKIT MERTAJAM : Meskipun kecewa kerana kes simbahan asid terhadapnya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), pemain kebangsaan, Faisal Halim tetap optimis untuk meneruskan kariernya sebagai seorang pemain bola sepak.
Menurut pemain Selangor FC itu, dia menyerahkan sepenuhnya kes tersebut kepada pihak yang berkenaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) sama ada untuk meneruskan kes terbabit atau sebaliknya.
“Sebagai mangsa, sudah tentulah saya kecewa. Tapi, apa yang saya boleh katakan ialah, benda itu sudah pun berlaku, dah lepas.
“Jadi, saya berharap sangat, berilah saya (peluang) untuk saya kembali dalam dalam kancah bola sepak. Kalau ada ada yang tak kena dengan saya, beritahu saya. Jangan aniaya saya.
“Saya rasa, saya tak ada salah silap dengan siapa-siapa. Kalau ada silap apa-apa, beritahulah daripada buat saya macam ini. Saya pun ada keluarga untuk ditanggung,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Terbuka U12 Piala Faisal Halim 2025 di Mengkuang Titi di sini, semalam.
Mengulas lanjut, anak kelahiran Mengkuang Titi itu berkata, dia enggan terlalu memikirkan mengenai isu tersebut sehingga menjejaskan kariernya yang baharu ‘dipulihkan’ semula.
“Saya tak nak fikir lagi mengenai NFA atau apa sahaja perkara yang berkaitan dengannya. Terpulanglah. Saya akan cuba terima keadaan ini seadanya,” ujarnya.
Faisal yang mesra disapa sebagai Mickey berkata, dia membina kerjaya sebagai pemain bola sepak sejak kecil bukan untuk mengejar kesenangan tetapi memburu impiannya menjadi pemain terbaik demi negara.
“Saya rasa kalau kita ada buat salah silap, kita beritahulah daripada buat saya macam ini (simbah asid) saya ada keluarga untuk ditanggung karier yang kejar daripada kecil.
“Saya orang kampung, kampung…rumah saya di sini, saya menjadi pemain bola sepak bukan untuk mengejar kesenangan tapi mengejar kejayaan untuk menjadi pemain terbaik,” katanya.-UTUSAN