Kerjaya kedi sumber pendapatan lumayan

Sukan

ALOR GAJAH: Kerjaya sebagai kedi kini boleh menjanjikan pendapatan lumayan mencecah RM6,000 sebulan kepada anak-anak muda tempatan jika ada yang berminat menjadikannya sebagai pekerjaan tetap, kata Presiden Casga, Datuk Bahari Abdullah.

Menurutnya, tanggapan masyarakat di negara ini bahawa kerjaya sebagai kedi tidak menjanjikan pendapatan lumayan serta boleh dijadikan sumber rezeki menyara keluarga adalah tidak benar.

Katanya, industri golf di negara ini sebenarnya menjanjikan pendapatan lumayan sekiranya diberikan ruang dan peluang kepada anak-anak muda tempatan untuk menceburi kerjaya sebagai kedi.

“Usaha yang dijalankan sebuah akademi iaitu AMS Caddy Academy melatih anak-anak tempatan sebagai kedi adalah tepat dan wajar. AMS dapat membentuk seorang kedi yang terlatih bagi memenuhi kriteria yang perlu ada pada diri seorang kedi.

“Lebih penting kerjaya kedi di bawah AMS menjanjikan gaji yang melebihi kadar gaji minimum yang baru ditetapkan oleh kerajaan, berstruktur dan mempunyai perlindungan insuran.

“Usaha AMS ini harus dipuji menaikkan martabat kerjaya sebagai kedi kerana sebelum ramai yang tidak percaya kedi boleh menjadi sumber pendapatan menyara keluarga,” ujarnya kepada pemberita baru-baru ini.

Bahari berkata, industri golf di negara ini kini amat memerlukan kedi tempatan kerana ingin mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan mewujudkan laluan kerjaya yang berdaya maju untuk bakat tempatan.

Dalam pada itu beliau berkata, Casga sejak ditubuhkan dapat mengikat tali persahabatan antara negara-negara ASEAN melalui sukan golf.

Menurutnya, persatuan itu dianggotai oleh ramai pesara kerajaan termasuk yang berjawatan tinggi seperti bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), bekas Ketua Hakim Negara, usahawan, pemilik kelab golf dan sebagainya.

“Sebagai contoh Presiden Casga di Thailand adalah bekas seorang Gabenor di Pattaya dan penglibatan kita sangat menyeluruh sejak 10 tahun lalu mempunyai hubungan baik antara masyarakat dengan rakyat dalam satu-satu negara tersebut,” katanya.

Menurutnya, idea penubuhan Casga adalah untuk membantu kerajaan menyampaikan sebarang maklumat melalui sukan golf. – UTUSAN