LE MANS: Harapan Francesco Bagnaia untuk bangkit dalam perebutan kejuaraan MotoGP 2025 terus merudum apabila terjatuh awal pada perlumbaan pecut Grand Prix (GP) Perancis kelmarin tanpa sebarang amaran dari jentera Ducati GP25 miliknya.
Juara dunia dua kali itu kehilangan cengkaman tayar depan di selekoh Dunlop pada pusingan kedua ketika berada di kedudukan keempat, sekali gus menamatkan rekod sepuluh perlumbaan berturut-turut dengan mata.
“Saya lebih perlahan, sudut condong pun kurang, tapi tetap hilang cengkaman depan, langsung tiada amaran.
“Malangnya sejak awal musim, saya memang tidak rasa yakin langsung dengan bahagian depan dan inilah akibatnya bila kita tak dapat jangka apa tayar depan buat,” kata Bagnaia.
Bagnaia turut mengakui dia semakin hilang keyakinan terhadap hala tuju pembangunan jentera baharu itu yang nyata gagal mengembalikan sentuhan GP24 musim lalu.
Pasukannya turut cuba memperkenalkan tangki bahan api baharu bagi meningkatkan kestabilan, namun pelumba Itali itu menolaknya kerana tidak selesa dengan perubahan tersebut.
Kegagalan pecut itu juga menyaksikan Bagnaia mula tercicir dalam carta kejuaraan apabila kini dibezakan 31 mata dengan rakan sepasukan baharu, Marc Marquez yang sedang mendominasi musim 2025.
Sementara itu, pelumba VR46, Fabio di Giannantonio yang menggunakan jentera GP25 spesifikasi sama turut melaporkan masalah serupa dengan cengkaman depan walaupun berjaya menamatkan pecut di tempat ketujuh. – AGENSI