Hakim Danish kukuh cengkaman pendahulu RedBull MotoGP

Sukan

PETALING JAYA: Belum rezekinya mengecapi gelaran juara, tetapi, pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli melakar aksi sensasi bangkit daripada insiden kemalangan untuk muncul sebagai naib juara pada pusingan kedua Piala RedBull MotoGP Rookies di Litar Le Mans, Perancis, hari ini.

Keputusan itu juga menyaksikan anak muda berusia 17 tahun tersebut semakin mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas senarai keseluruhan pelumba selepas mengumpul 80 mata daripada empat perlumbaan, musim ini.

Dalam perlumbaan 2 di Le Mans, Hakim Danish membuat seluruh peminat di tanah air cemas seketika apabila dia terbabit dalam insiden kemalangan bersama pencabar terdekatnya Brian Uriarte pada pusingan pertama di atas trek yang basah.

Insiden itu menyebabkan Hakim Danish yang bermula di petak pertama jatuh ke tangga ke-23, sebelum dia perlahan-lahan mengejar dan memintas seorang demi seorang pelumba di hadapannya untuk menamatkan perlumbaan di tangga kedua menerusi catatan masa 25 minit 58.784 saat (s).

Pelumba Sepanyol, Benat Fernandez yang terselamat daripada kemalangan membabitkan Hakim Danish dan Uriarte mengungguli saingan dengan catatan masa terpantas 25:46.423s, manakala, Marco Morelly dari Argentina di tempat ketiga (25:68.435s).

Fernandez kini berada di tangga kedua dalam senarai pelumba selepas mengumpul 57 mata, manakala rakan senegaranya, Uriarte menghuni tempat ketiga dengan 50 mata.

Bagi Hakim Danish, kejayaan terbarunya itu menyaksikan pelumba kelahiran Kuala Terengganu tersebut mencatat keputusan naib juara buat kali keempat berturut-turut.

Ketika ditemu bual selepas perlumbaan berakhir, Hakim Danish berkata, dia pada awalnya menyangka keputusan podium telahpun terlepas daripada genggamannya akibat terjatuh.

“Saya segera angkat motosikal saya dan kembali ke dalam trek. Saya berusaha untuk bersikap tenang dan cuba mengejar pelumba-pelumba yang berada di depan saya.

“Berkat usaha gigih, saya akhirnya berjaya juga menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua,” katanya yang turut mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada bondanya dan juga semua wanita yang bergelar ibu di seluruh dunia.-UTUSAN