Rafizi bimbang sokongan pengundi Melayu terhadap PH belum selamat

Politik

SEREMBAN: Sokongan pengundi orang Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) masih lagi belum mencapai tahap ‘selamat’ iaitu sekitar 35 peratus.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, keadaan itu membimbangkan malah lebih ketara apabila sokongan pengundi Melayu kepada PH hanya naik sekitar satu ke dua peratus sahaja pada setiap bulan dengan data terkini sekitar 27 peratus bulan ini.

Jelas beliau, kepemimpinan PH perlu menarik sokongan pengundi Melayu sekurang-kurangnya sebanyak 35 peratus yang merupakan petua terbaik dalam memastikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 yang hanya berbaki dua tahun lagi.

Sehubungan itu, jelasnya, tiada keperluan melakukan gerakan untuk ‘membuang’ kepemimpinan lama yang setia dengan parti sebaliknya tumpuan diberikan bagi menarik sokongan serta kepercayaan pengundi Melayu.

“Kenapa perlu pemilihan kali ini digoncang begitu rupa, gerakan membuang orang-orang lama dalam parti, tak nak bagi tahu lah. Saya bimbang, orang yang memerhatikan sekarang. kebanyakannya pengundi atas pagar, apabila dia tengok ni (pemilihan PKR), kita faham-faham lah dia nak pergi mana.

“Kita tidak banyak masa lagi. Saya bimbang menjelang masuk PRU, kita tidak cecah 35 peratus. Buatlah macam mana, peluk damaikan akar umbi macam mana pun, tidak menang kita dalam pilihan raya nanti,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Hiruk, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun

Malah menurut beliau, pendedahan berkenaan pasti akan mendapat pelbagai reaksi, bagaimanapun itulah yang perlu difikirkan pimpinan parti sebelum nasi menjadi bubur.

 “… tidak apalah, kita nak ada pengundi Cina dan India. Kena macam mana pengundi Cina di Sungai Bakap (pilihan raya kecil), pengundi Cina tak keluar. Sokongan pengundi Cina jatuh 32 peratus dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Malah dakwa beliau, sokongan pengundi India pula menurun sebanyak 38 peratus dalam tempoh yang sama.

“Ini risiko kita dalam dua tahun akan datang. Ini adalah beban kepada pimpinan parti akan datang. Saya ingat kawan-kawan, jawatan itu adalah amanah yang besar. Saya tidak ada masalah langsung. yang saya bimbang, budaya hanya kejar jawatan,” katanya.-UTUSAN.