KUALA LUMPUR: Penerjun lelaki negara, Muhammad Syafiq Puteh menyifatkan Nurqayyum Nazmi Mohammad Nazim dan Yong Rui Je sebagai pelapis yang bersedia menggantikan tempatnya dalam acara 3 meter (m) papan anjal pada masa akan datang.
Selepas muncul juara Ujian Pemilihan Terjun Kebangsaan 2025, Syafiq berkata, beliau yakin barisan muda itu memiliki potensi podium dan masa depan yang cerah untuk mewarisi tempatnya.
“Qayyum dan Rui Je adalah pelapis yang sangat berbakat dan tak kira apa pun, saya percaya mereka akan naik podium satu hari nanti.
“Saya pun harap mereka dapat menggantikan macam saya ganti Ooi Tze Liang sebelum ini dan terus memantapkan lagi acara 3m papan anjal lelaki,” kata Syafiq kepada pemberita selepas ujian pemilihan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Penerjun berusia 30 tahun itu kini menjadi tonggak utama dalam acara terbabit selepas Tze Liang memutuskan untuk bersara dan meneruskan karier jurulatih pelapis negara.
Pada aksi semalam, Syafiq menewaskan pencabar muda sekali gus berjaya mengutip 391.25 mata manakala Nurqayyum meraih tempat kedua (390.70 mata) dan Rui Je merangkul tempat ketiga dengan 360.40 mata.
Dalam pada itu, Syafiq mendedahkan beliau sudah tiga kali melepasi Skor Kelayakan Minimum (MQS) termasuk ujian pemilihan ini iaitu 370 mata yang ditetapkan oleh Persekutuan Renang Malaysia (MAS).
MQS adalah penanda aras utama dalam menentukan atlet terjun yang layak mewakili negara di kejohanan antarabangsa, dengan cara setiap atlet perlu melepas had kelayakan minimum ditetapkan.
Menurutnya, skor sebanyak 391.25 mata pada acara 3m papan anjal semalam memberi penanda aras kepadanya sebelum Kejohanan Dunia yang berlangsung pada 11 Julai hingga 3 Ogos ini.
“Alhamdulillah saya gembira dapat capai MQS yang telah ditetapkan oleh persatuan dan skor 391 mata ini sangat bermakna sebagai penanda aras sebelum Kejohanan Dunia,” katanya.-UTUSAN