PETALING JAYA: Calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar perlu bersedia menggalas tanggungjawab besar sekiranya berjaya memenangi jawatan tersebut dalam pemilihan parti itu kelak.
Penganalisis Politik, Dr. Azmi Hassan berkata, walaupun isu utama bukan terletak pada pencalonan semata-mata, beban tanggungjawab yang perlu ditanggung selepas kemenangan adalah perkara yang perlu diberikan perhatian.
Katanya, kedudukan sebagai Timbalan Presiden tidak hanya melibatkan peranan dalam parti semata-mata, tetapi juga berkaitan dengan struktur pentadbiran negara memandangkan PKR merupakan tunjang utama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Isunya, sekiranya Rafizi tewas, beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi. Itu adalah satu hakikat. Namun, Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden sepatutnya memegang jawatan dalam Kabinet.
“Tetapi masalahnya, beliau bukan Ahli Parlimen. Saya tidak pasti sama ada terdapat kekosongan jawatan senator dalam kalangan kerajaan atau kuota PKR kerana Tengku Zafrul yang bakal tamat tempoh sebagai senator ketika ini berada di bawah kuota Barisan Nasional. Itu yang saya tahu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Azmi menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli seolah-olah mengandungi sindiran sinis terhadap Nurul Izzah kerana bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu tidak mempunyai pengalaman memegang jawatan dalam Kabinet.
“Rafizi turut menyatakan bahawa Nurul Izzah belum bersedia untuk memikul tanggungjawab besar ini dan menggambarkan dirinya sebagai calon paling sesuai untuk kekal sebagai Timbalan Presiden bagi memastikan kestabilan dalam Kerajaan Perpaduan terutama dari segi kuota jawatan menteri.’
“Sekiranya Nurul Izzah menang, kemungkinan wujud sedikit ketidakseimbangan dalam struktur tersebut. Ini mesej yang cuba disampaikan oleh Rafizi, namun sama ada diterima oleh para perwakilan dan akar umbi atau tidak, kita akan lihat semasa konvensyen nanti,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Politik, Mazlan Ali berkata, Nurul Izzah bukanlah figura asing dalam PKR kerana beliau sudah lama bergiat aktif dan memiliki rekod politik yang kukuh sejak menyertai parti tersebut lebih dua dekad lalu.
Katanya, selain kelayakan akademik yang tinggi, beliau juga telah membuktikan keupayaan dengan memegang jawatan Naib Presiden PKR selama beberapa penggal dan pernah mencipta kemenangan besar dalam beberapa siri pilihan raya.
Melihat kepada rekod pilihan raya,ss Nurul Izzah pernah menewaskan dua tokoh besar di Lembah Pantai iaitu Datuk Raja Nong Chik dan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang merupakan pencapaian luar biasa,” katanya.-UTUSAN.