PETALING JAYA: Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan menyasarkan untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Komanwel selepas memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara snatch pada Kejohanan Asia di China, kelmarin.
Namun begitu, kegembiraan itu sedikit tercalar apabila Aniq gagal menamatkan angkatan dalam acara clean and jerk akibat kecederaan yang dialami ketika beraksi pada temasya itu.
Menurut Aniq, walaupun berbangga dengan pencapaian memecahkan rekod kebangsaan, beliau mengakui sedikit kecewa kerana terlepas peluang untuk merangkul pingat dalam acara tersebut.
“Alhamdulillah, hari ini saya berjaya catat PB dan rekod kebangsaan. Tapi saya agak kecewa kerana tidak dapat angkat semua angkatan dalam clean and jerk.
“Disebabkan itu, saya terlepas pingat,” katanya kepada Utusan Malaysia .
Tambahnya, tahap kecederaan yang dialami belum dikenal pasti namun, beliau berharap ia tidak serius agar tidak menjejaskan perancangannya ke arah kelayakan Sukan Komanwel.
“Apa yang penting sekarang ialah saya fokus pada pemulihan dan terus bekerja keras kerana sasaran saya adalah untuk layak ke Sukan Komanwel,” ujarnya lagi.
Aniq, yang pernah merangkul pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 dalam kategori 55 kilogram, kini dilihat sebagai antara sandaran utama negara untuk mengulangi kejayaan di pentas antarabangsa.-UTUSAN