PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menggunakan platform audio siar Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri? bagi menjawab segala persoalan melibatkan beliau menjelang pemilihan parti pada 24 Mei ini.
Pelbagai isu disentuh beliau termasuk soal mengambil cuti sebagai Menteri Ekonomi, masa depannya jika tewas dalam pertembungan satu lawan satu menentang Nurul Izzah Anwar dan kempen-kempen bertemu pemimpin parti yang melibatkan pemberian wang.
Menurutnya pada program itu, beliau juga bersedia meletakkan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mengekalkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.
“Tidak akan ada huru-hara, tidak ada kekacauan dan tiada ancaman kepada kestabilan. Jika kalah, saya akan berundur.
“Saya akan teruskan sebagai Ahli Parlimen biasa. Tanpa beban tanggungjawab menteri, saya boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada peranan di Parlimen saya,” katanya pada program audio siar itu yang turut diadakan secara langung di Dewan Serbaguna MBSJ, Seri Kembangan, Selangor, kelmarin.
Rafizi turut menyentuh pandangan orang ramai mengenai pencalonan Puteri Reformasi, Nurul Izzah sebagai permulaan parti itu menjadi parti nepotisme.
Jelasnya, Nurul Izzah tidak boleh lari daripada persepsi itu walaupun memberikan penjelasan apabila beliau turut terlibat pembentukan awal PKR dalam memperjuangkan reformasi pada 1998.
“Apabila Izzah bertanding kerusi Timbalan Presiden, parti tidak boleh lari daripada isu nepotisme biarpun masing-masing akan ada hujah sendiri.
“Terpulang kepada Nurul Izzah untuk berhujah. Saya tidak berniat memanjangkan isu ini tetapi saya bimbang persepsi rakyat di luar,” katanya.
Rafizi turut mengkritik pengendalian pemilihan PKR peringkat Cabang, yang disifatkan sebagai ‘badan tanpa kepala’ selain mendakwa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang diketuai Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustapha gagal berfungsi dengan baik.
“Saya sudah lama suarakan dalam parti iaitu kebimbangan saya apabila kita sudah berkuasa orang berebut nak masuk parti kerana kita memberi ruang. Jadi, mana yang boleh tapis, kita tahu awal (mereka adalah ahli parti lain) dan kita bantah.
“Apabila ada bantahan anda (Zaliha) jawablah satu per satu. Ini kadang-kadang bantahan sampai beratus-ratus dan dia tidak jawab. Kita tanya macam mana pun dia buat tidak tahu,” katanya.
Rafizi pada sama juga mengkiritik sikap beberapa kepimpinan parti yang menyimpang daripada nilai sebenar selepas mendakwa dirinya tidak menjaga akar umbi.
Jelasnya, pendekatan parti itu dalam menjaga akar umbi berbeza dengan parti lain sebagai reaksi kepada kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk R. Ramanan, sebelum ini.-UTUSAN.