KUALA LUMPUR: Skuad kuadran negara meneruskan langkah bergaya apabila mara ke final Kejohanan Piala Asia Sepaktakraw ASTAF 2025 selepas mudah membelasah Korea Selatan 2-0 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Dalam perlawanan yang menyaksikan persembahan mantap barisan pemain negara, regu Malaysia yang dibarisi Amirul Zazwan Amir, Muhammad Norfaizzul Abd Razak, Muhammad Shahalril Aiman Halim dan Muhammad Afifuddin Mohd Razali, tidak memberi ruang kepada lawan apabila menang set pertama dengan kemenangan bergaya 15-13.
Aksi bertenaga diteruskan pada set kedua apabila anak buah jurulatih Muhammad Zulkarnain Mohamed Arif tidak menunggu lama untuk menutup set kedua dengan kemenangan meyakinkan 15-8, sekali gus memastikan slot ke final menjadi milik skuad negara.
Pemain apit kiri negara, Norfaizzul Abd Razak berkata, beliau tidak mahu ambil mudah cabaran yang bakal diberikan pasukan Jepun.
“Syukur, Alhamdulillah pasukan Malaysia dapat mara ke final dan kami akan berikan yang terbaik menentang pasukan Jepun pada malam ini.
“kami pernah hadapi Jepun dalam peringkat kumpulan tapi kami tidak ambil mudah dan akan membuat persediaan rapi untuk perlawanan akhir.
“Agak terkejut Vietnam tumpas di tangan Jepun kerana kita tahu Vietnam adalah salah satu pencabar terkuat dalam acara ini,” katanya selepas perlawanan.
Kemenangan itu jelas membuktikan kekuatan dan keserasian skuad negara dalam saingan kuadran yang kini dilihat antara pencabar utama kejuaraan selepas menampilkan aksi konsisten sepanjang kejohanan.
Malaysia kini bakal berdepan cabaran getir apabila dijadual bertemu Jepun dalam perlawanan akhir malam ini, dengan harapan tinggi untuk menghadiahkan kejuaraan kepada negara buat julung kali dalam edisi kali ini.-UTUSAN