Pertembungan Nurul Izzah, Rafizi saingan sihat dalam ‘keluarga’

Politik

KEMAMAN: Pertembungan antara Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Rafizi Ramli bagi merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu dilihat sebagai persaingan sihat dalam sebuah ‘keluarga’. 

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yakin pertembungan dua nama besar itu tidak menimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli parti, malah pemilihan itu akan berlangsung secara demokrasi. 

“Inilah demokrasi (pemilihan) yang perlu kita lalui dengan sihat. Kita berkempen dan bertanding secara sihat dan selepas keputusan itu (sesiapa pun yang dipilih nanti) kita move on lah.

RAFIZI RAMLI

“Apa yang penting, apa jua yang kita buat ni, rakyat sedang memerhati dan ia akan memberi impak untuk pilihan raya nanti. Jadi, kita perlu buat yang terbaik untuk pastikan parti berada dalam keadaan terbaik menuju pilihan raya dan memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri,” katanya selepas menyertai Operasi Penguatkuasaan Kenderaan Bermotor di Jalan Kuantan – Kemaman di sini, hari ini.

Beliau mengulas emilihan PKR yang diadakan sempena Kongres PKR 2025 di Johor Bahru pdari 22 hingga 25 Mei ini. 

Nik Nazmi yang bertanding bagi mempertahan jawatan Naib Presiden yang disandangnya optimis dapat mengekalkan jawatan itu. 

“Insya-Allah, saya yakin. Kalau saya rasa akan kalah, saya tidak akan bertanding. Kalau perwakilan memilih saya, maka saya akan kekal. Apa yang penting kita memilih dan bertanding secara sihat, tampilkan apa yang akan kita buat dan kita cuba amalkan politik yang positif dan matang,” katanya. – UTUSAN