KUALA LUMPUR: MClean Technologies Berhad (MClean), penyedia penyelesaian pembersihan dan rawatan permukaan yang mantap, mengambil langkah proaktif dalam menghadapi cabaran semasa industri semikonduktor.
Ini terutamanya berikutan peraturan baharu yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport cip kecerdasan buatan (Al) dan teknologi semikonduktor sensitif.
Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Eksekutif MClean, Datuk Dr. Terence Tea Yeok Kian berkata, peraturan ketat yang diperkenalkan itu telah menambah kerumitan kepada pemain industri, khususnya mereka yang terlibat dalam rantaian bekalan rentas sempadan dan komponen berteknologi tinggi.
“Bagi menangani cabaran ini, MClean menumpukan kepada aspek ketangkasan operasi dan daya tahan jangka panjang sebagai teras strategi syarikat.
“Kami mengiktiraf bahawa modal insan merupakan aset paling penting dalam memastikan daya saing yang berterusan.
“Oleh itu, MClean sedang memperkukuh bakat dalaman melalui inisiatif peningkatan kemahiran yang disasarkan serta kerjasama strategik dengan institusi latihan tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata, MClean kini turut menyasarkan untuk menjadi peneraju industri dengan komitmen berterusan terhadap inovasi, kualiti dan penciptaan nilai kepada pelanggan serta pemegang saham.
“Kumpulan telah melaksanakan strategi pelbagai pendekatan bagi mengukuhkan prestasi dan kelebihan daya saing dalam sektor kejuruteraan ketepatan dan perkhidmatan industri.
“Keupayaan MClean telah diperluaskan ke dalam segmen acuan suntikan plastik, membolehkan syarikat menawarkan penyelesaian bersepadu secara menegak dengan pengambilalihan syarikat We Total Engineering Sdn. Bhd. pada 28 Mac 2025 lalu.
“MClean juga terus memperkukuh hubungan dengan pelanggan sedia ada dalam sektor pemacu cakera keras (HDD), elektronik pengguna dan elektrik serta elektronik (E&E), di samping meningkatkan kapasiti operasi di kemudahan di Malaysia, Singapura dan Thailand.
“Pensijilan daripada Pertubuhan Standardisasi Antarabangsa (ISO) serta rekod prestasi kukuh dalam kualiti turut menjadikan MClean rakan industri yang dipercayai,” ujarnya.
Sementara itu, Terence berkata, perkongsian strategik dengan pemegang saham utama seperti Accrelist Ltd. dan Dufu Technology Corp. Berhad turut membuka laluan kepada kerjasama penyelidikan, pertukaran teknologi, dan akses pasaran serantau,
“Usaha ini, dipacu oleh kepimpinan yang kukuh dan disiplin operasi, seterusnya membentuk asas kepada pertumbuhan mampan MClean dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, MClean tiada perancangan untuk meneroka pasaran baharu atau meluaskan operasi ke sektor lain buat masa ini.
“Pada peringkat ini, tumpuan utama kami adalah untuk memperkukuh dan mengoptimumkan perniagaan teras kami, khususnya dalam pembersihan berketepatan tinggi, rawatan permukaan, dan segmen acuan suntikan plastik yang baru diperluas.
“Dengan proses integrasi We Total Engineering yang masih berjalan, kami menumpukan usaha untuk menyatukan operasi, mempertingkatkan keupayaan dalaman dan memaksimumkan sinergi di seluruh kumpulan,” katanya. – UTUSAN