Rafizi minta pengundi pilih Nurul Izzah?

Politik

KULIM : Datuk Seri Rafizi Ramli dilihat mula memainkan kempen secara psikologi terbalik dalam usaha mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR apabila meminta agar undi itu diberikan kepada lawannya iaitu Nurul Izzah Anwar.

Menurut Rafizi, beliau tidak mempunyai pilihan apabila terpaksa menentang Nurul Izzah untuk jawatan nombor dua dalam PKR dan perlu berbuat demikian demi kebaikan parti.

“Jadi, saya kena sebut, kita tak boleh ada keputusan lain selain daripada Nurul Izzah (menang). Kalau dia menang, maka, saudara-saudari sokong dan bantulah dia kerana beban yang dia akan tanggung adalah sangat berat dalam keadaan semua ini berlaku (situasi politik semasa).

“Saya ingat, kita sudah melalui banyak turun naik (cabaran) dan sebagainya. Jadi, kalau kita berterus-terang dengan hati kita, kita tahu jalan kita, kita semua bukan jenis orang ‘makan dalam’, tak ada masalah, insya-Allah.

“Kalau Allah tetapkan parti ini (PKR) adalah yang terbaik untuk negara, insya-Allah, datanglah cabaran macam mana pun, kita akan menang sekali lagi pada PRU-16 (Pilihan Raya Umum ke-16) nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena siri jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) bagi zon Kedah, Pulau Pinang dan Perlis di Sungai Seluang di sini, malam tadi.

Terdahulu, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, apabila Nurul Izzah membuat keputusan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebenarnya telah berdepan dengan satu cabaran yang besar kerana beliau merupakan anak kepada Presiden PKR iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi, kalau Nurul Izzah kalah, apa mesej kepada rakyat? Mesejnya ialah anggota parti sendiri menolak Anwar. Sebab itu dia (Nurul Izzah) mesti menang.

“Kalau kalah, kita akan masuk pilihan raya umum dalam keadaan yang kita tak boleh gambarkan, nak berdepan pembangkang dan polemik politik yang ada di dalam dan luar kerajaan.

“Jadi, apa pilihan yang saudara-saudari ada? Undilah Nurul Izzah, kerana tidak boleh ada keputusan lain. Apapun pilihan peribadi, keputusan mesti memihak kepada Izzah. Jika tidak, itu bermakna Anwar ditolak,” kata Ahli Parlimen Pandan itu lagi.-UTUSAN