PUTRAJAYA: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan keputusannya tidak merebut jawatan nombor dua PKR dibuat demi kepentingan dan kelangsungan parti.
Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, sebagai pendiri parti, beliau mahu melihat parti ini terus kuat dan stabil kerana pemilihan kali ini berbeza, malah PKR berada dalam kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, tugasnya kini adalah untuk menyederhanakan situasi dalam parti.
“Kerana pendirian yang saya pegang adalah pemilihan dalam parti bukan ‘us versus them’ sebaliknya ‘we are together’.
“Jadi, keputusan yang terbaik buat saya adalah tidak ikut serta pemilihan itu dan keutamaan saya lebih kepada penjaga kestabilan dan menjaga perpaduan dalam parti.
“Itu yang saya fikirkan. Jadi, kerana itu, saya fikir saya tak boleh mempengaruhi keputusan orang lain tapi saya boleh mengawal keputusan saya,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.
Katanya, beliau juga mahu sejurus selepas pemilihan parti pada 24 Mei ini, parti akan terus bergerak dalam Kerajaan Perpaduan tanpa menoleh ke belakang lagi.
Jelasnya, parti sepatutnya mempersiapkan diri untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang mana tempoh matangnya pada bulan Oktober ini.
Buat masa ini, katanya, beliau masih Ketua Setiausaha PH yang bertanggungjawab kepada gabungan empat parti terutama dalam mengawal ‘engine room’ Kerajaan Perpaduan.
“Saya juga ahli biro politik dalam parti dan dengan dua tanggungjawab itu, saya masih boleh memberikan peranan,” katanya. – UTUSAN