Pelapis terjun mula cabar Pandelela

Sukan

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong menyifatkan masa depan acara 10 meter (m) platform individu wanita cerah dengan adanya atlet pelapis seperti Nur Eilisha Rania Abrar Raj dan Lee Yiat Qing.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu membuktikan status seniornya apabila mengungguli Ujian Pemilihan Kebangsaan 2025 dalam acara berkenaan dengan kutipan 270.20 mata, mengatasi Eilisha (249.65 mata) dan Yiat Qing (242.85 mata).

Pada usia 32 tahun, Pandelela mengakui gembira melihat kemajuan pelapis negara yang semakin konsisten dan mula memberi cabaran kepadanya dalam pertandingan tempatan sekali gus mampu mencabar pada kejohanan antarabangsa.

“Saya sangat gembira tengok perkembangan pelapis, lagi satu atau dua tahun mereka akan cabar saya,” kata Pandelela selepas ujian itu di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil, kelmarin.

Walaupun belum menyaingi jumlah mata senior mereka, peningkatan konsisten dua pelapis itu membuktikan program pembangunan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) berada di landasan yang betul.

Sementara itu, Pandelela akan kembali memperkemas aspek fizikal dan mental sebagai persiapan terakhir ke Kejohanan Dunia di Singapura yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai hingga 3 Ogos ini.

Biarpun tidak melepasi Standard Kelayakan Minimum (MQS) sebanyak 290 mata yang ditetapkan oleh MAS, Pandelela memaklumkan beliau sudah mencatat skor berkenaan pada ujian pemilihan serta Terbuka Malaysia tahun lalu sekali gus melayakkan diri ke kejohanan antarabangsa.

MQS adalah penanda aras utama dalam menentukan atlet terjun yang layak mewakili negara di kejohanan antarabangsa, dengan cara setiap atlet perlu melepas had kelayakan minimum ditetapkan.

“Saya menggunakan ujian ini untuk mempersiapkan mental menghadapi Kejohanan Dunia. Saya sudah melepasi MQS dua kali tetapi masih memilih untuk bersaing di sini bagi mengelak terjebak dalam rutin latihan yang berulang-ulang kali.

“Saya perlu berusaha untuk kecergasan fizikal dan mental saya serta konsistensi saya, menjelang kejohanan dunia,” katanya.-UTUSAN