PETALING JAYA: Kerajaan wajar menangguhkan penarikan balik bantuan dan subsidi yang dirancang ke atas kumpulan T15 pada ketika ini.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, sehingga kini, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak membuat sebarang ketetapan terhadap kumpulan berkenaan malah menteri yang sama dilihat sibuk dengan urusan kepartian semata-mata.
“Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang diasaskan Rafizi sendiri telah dilancarkan pada 2 Januari 2024. Namun sehingga kini, selepas 17 bulan, definisi T15 masih belum ditentukan.
“Jika kerajaan benar-benar tidak tahu bagaimana untuk membuat penentuan terhadap kumpulan T15 ini, maka segala bentuk penarikan balik bantuan dan subsidi yang dirancang ke atas kumpulan ini wajar ditangguhkan dahulu.” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, Dominic lagi, Rafizi tidak seharusnya mengabaikan tugasnya sebagai seorang menteri demi mengejar jawatan dalam PKR.
Jelasnya, tugas Rafizi itu merupakan mandat daripada rakyat yang harus dipikul dengan baik, sekali gus menggesa supaya beliau mengambil cuti daripada jawatan berkenaan jika terus sibuk dengan hal kepartian.
“Beliau tidak seharusnya mengabaikan tugasnya sebagai menteri demi mengejar jawatan dalam PKR, apatah lagi melupakan tanggungjawab terhadap negara dan rakyat. Isu-isu rakyat adalah hal yang paling utama bagi sesebuah negara dan definisi kumpulan T15 wajar dimuktamadkan dengan segera.
“Lagipun, sejak dilantik sebagai menteri, tiada pencapaian ketara yang boleh dibanggakan dalam usaha meningkatkan keupayaan ekonomi rakyat dan negara. Sama ada beliau ada atau tidak, rakyat tidak melihat sebarang kesan positif yang jelas,” katanya.
Malah Dominic berkata, Rafizi selaku Menteri Ekonomi tidak menguruskan isu berkaitan cukai yang dikenakan Amerika Syarikat (AS), sebaliknya hanya terus memperkenalkan sistem PADU yang masih belum berfungsi sepenuhnya.
“Beliau sepatutnya sedar bahawa sebagai menteri, tugas utama adalah untuk menjaga kebajikan rakyat dan menambah baik kehidupan mereka, bukan sekadar bercakap kosong.
“Jika Rafizi ada kesedaran diri, beliau seharusnya menyerahkan jawatan penting seperti Menteri Ekonomi itu kepada individu yang lebih berwibawa dan berkemampuan, bukannya terus memegang jawatan kabinet tetapi gagal menunaikan amanah rakyat,” ujarnya. – UTUSAN